AM

KFC MALAYSIA SUMBANG RM100,000 BANTU MANGSA BANJIR MENERUSI INISIATIF ADD HOPE

16/12/2024 09:53 PM

KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- KFC Malaysia menerusi inisiatif tanggungjawab sosialnya Add Hope Malaysia memperuntukkan RM100,000 bagi membantu komuniti terjejas akibat banjir baru-baru ini di seluruh negara.

QSR Brands (M) Holdings Bhd (QSR Brands), operator KFC Malaysia, dalam kenyataan memaklumkan inisiatif itu akan menyediakan bantuan segera berupa makanan bagi memastikan kumpulan rentan mendapat sajian utama pada masa kritikal ini.

Menurut kenyataan itu, dengan menggerakkan sumber dan menyelaraskan usaha bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Bulan Sabit Merah Malaysia, lebih 6,000 hidangan KFC akan dihantar ke penghuni pusat pemindahan sementara (PPS) dan rumah mangsa banjir.

"NADMA memainkan peranan penting dalam menyelaraskan usaha tindak balas bencana di seluruh Malaysia, memastikan sumber diperuntukkan dengan cekap dan komuniti yang terjejas menerima bantuan tepat pada masanya.

"Bulan Sabit Merah Malaysia menyokong usaha ini dengan menyediakan bantuan di lapangan termasuk khidmat perubatan, tempat perlindungan kecemasan dan bekalan keperluan penting kepada mereka yang memerlukan," menurut kenyataan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan QSR Brands Nehchal Khanna dalam kenyataan sama berkata inisiatif Add Hope akan mengutamakan kawasan paling teruk dilanda banjir khususnya di Kelantan, Terengganu, Kedah and Johor.

"Kami percaya dalam waktu krisis, menjadi tanggungjawab kami untuk bersama dalam solidariti dengan mereka yang menderita. Sumbangan kami RM100,000 dalam bentuk bantuan makanan merupakan langkah ke arah meringankan beban ditanggung mangsa banjir," katanya.

Jumaat lepas, Ketua Pegawai Komunikasi QSR Brands Anis Yusof menyerahkan cek cura kepada Timbalan Ketua Pengarah NADMA Hussain Moh bersama Timbalan Ketua Setiausaha Bulan Sabit Merah Malaysia Datuk Danial Iskandar Abdul Rahman.

Pada majlis berkenaan, Anis berkata Add Hope Malaysia tetap teguh dalam menyokong komuniti yang memerlukan dan berikrar untuk meneruskan usahanya bagi membantu mereka yang terkesan dengan bencana alam di seluruh Malaysia sekali gus mengukuhkan komitmennya untuk membantu membina semula kehidupan dan memberikan harapan dalam masa sukar.

"Kami akan terus bekerjasama denga NADMA dan Bulan Sabit Merah Malaysia untuk meningkatkan impak kami secara kolektif dan memastikan bantuan sampai kepada mereka yang paling memerlukan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan