DUNIA

LAWATAN KE MALAYSIA BUKA JALAN PELAKSANAAN PROJEK BERSAMA, KETERJAMINAN MAKANAN - PAETONGTARN

17/12/2024 12:13 AM

 

BANGKOK, 16 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra berkata pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengukuhkan hubungan dua hala dan membuka jalan untuk mempercepat pelaksanaan projek bersama. 

Paetongtarn menekankan kemajuan yang dicapai dalam bidang utama, termasuk pengurangan banjir, pengurusan sempadan, dan kerjasama perdagangan, sepanjang perbincangan antara Thailand dan Malaysia.

“Walaupun lawatan itu singkat, kemajuan ketara berjaya dicapai dalam kerjasama dua hala,” katanya dalam wawancara yang disiarkan pada Isnin, merujuk kepada hasil lawatan rasmi beliau ke Malaysia.

Beliau menyatakan bahawa perbincangan itu berjaya membina asas daripada inisiatif tahun lepas di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri Srettha Thavisin.

“Isu utama yang dibincangkan termasuk cabaran sempadan, kerjasama ekonomi, projek pengurusan banjir seperti mendalamkan Sungai Golok, penambahbaikan logistik, serta situasi di wilayah sempadan selatan Thailand. Kedua-dua pihak bersetuju bahawa isu ini perlu diselesaikan tanpa keganasan,” katanya.

Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa kedua-dua negara membincangkan kerjasama dalam keterjaminan makanan, dengan Thailand menekankan komitmennya untuk mempromosikan eksport makanan halal yang diperakui.

Beliau berkata pensijilan itu dijangka memperluaskan pasaran Thailand ke negara jiran dan lebih jauh lagi.

Paetongtarn juga menegaskan kepentingan kerjasama dalam pendidikan, dengan Malaysia dikenal pasti sebagai destinasi utama bagi pelajar Thailand menerusi satu program biasiswa yang dicadangkan.

Berhubung banjir, Perdana Menteri mengumumkan rancangan untuk menubuhkan jawatankuasa bersama yang akan merangka strategi menangani risiko banjir di kedua-dua negara.

Beliau turut menyatakan kesediaan kedua-dua pihak untuk meningkatkan peluang pelaburan bersama, dengan memberi tumpuan kepada projek yang memberi manfaat bersama berdasarkan pendekatan menang-menang.

Semasa lawatan itu, perjanjian berkaitan pertanian dan kerjasama kebudayaan turut dimeterai, sekali gus mengukuhkan lagi  hubungan dua hala.

Paetongtarn mengakhiri kenyataan dengan menjemput Perdana Menteri Malaysia untuk melakukan lawatan rasmi ke Thailand.

Beliau menegaskan bahawa lawatan sedemikian akan mempercepatkan kemajuan inisiatif bersama, dengan hasil yang dijangka dapat dilihat seawal tahun depan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan