AM

PERKHIDMATAN BAS ULANG-ALIK PERCUMA KE BUKIT BENDERA SEMPENA CUTI SEKOLAH

17/12/2024 03:33 PM

GEORGE TOWN, 17 Dis (Bernama) -- Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) dengan kerjasama Rapid Penang dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan menyediakan perkhidmatan bas ulang-alik ke Bukit Bendera dari Komtar selama lima hari bermula 25 hingga 29 Dis ini.

PBBPP dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkhidmatan pengangkutan secara percuma itu merupakan inisiatif kali kelima dibuat, bersempena dengan cuti persekolahan akan datang bertujuan mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan di sekitar Bukit Bendera.

Di samping itu, ia juga bagi menggalakkan inisiatif hijau untuk mengurangkan pelepasan karbon di negeri ini selaras Visi Penang2030, iaitu untuk mewujudkan Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

“Perkhidmatan ulang-alik percuma akan bermula dari pukul 9 pagi hingga 9 malam dengan kekerapan lapan perjalanan setiap hari bagi kedua-dua arah pada setiap 1 jam dan 30 minit.

“Selain itu, bas ulang-alik direka untuk mesra kerusi roda bagi penumpang dengan keperluan kebolehcapaian tertentu,” menurut kenyataan itu.

PBBPP memberitahu penumpang boleh menaiki perkhidmatan berkenaan di hentian bas 9 Komtar yang terletak di Jalan Ria, iaitu laluan bawah bersebelahan kios Rapid Penang untuk sampai ke Stesen Bawah Bukit Bendera dan sebaliknya.

“Bas-bas ini boleh dikenal pasti menerusi papan tanda Penang Hill Free Shuttle Service. Selain itu, tempat pick-up (mengambil penumpang) dan drop-off (menurunkan penumpang) akan menampilkan visual berbeza untuk menjadikan perkhidmatan ulang-alik mudah dikenali,” tambah kenyataan itu.

Menurut PBBPP, jadual perkhidmatan bas berkenaan juga boleh didapati menerusi laman sesawang rasmi dan semua platform media sosial PBBPP.

Bagaimanapun, perbadanan itu menjelaskan sekiranya bas ulang-alik mencapai kapasiti maksimum, pengunjung digalakkan menaiki bas Rapid Penang Laluan 204, yang beroperasi dari Terminal Bas Weld Quay melalui Komtar ke Bukit Bendera pada kadar biasa dengan kekerapan 35 minit pada waktu puncak dan setiap 45 minit pada waktu luar puncak.

Menurut PBBPP, perkhidmatan ulang-alik percuma itu telah menunjukkan kejayaan sejak pelancarannya dengan merekodkan lebih 1,600 penumpang pada cuti akhir persekolahan tahun lepas manakala Aidilfitri pula menyaksikan peningkatan memberangsangkan sebanyak 53 peratus penumpang berbanding tahun sebelumnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan