EKONOMI

PEMBANGUNAN RANGKAIAN REL KERETA API MALAYSIA-CHINA DIHARAP DAPAT DIREALISASIKAN DALAM TEMPOH TERDEKAT - LOKE

17/12/2024 07:39 PM

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan berharap perancangan pembangunan rangkaian rel kereta api yang menghubungkan Malaysia dan China dapat direalisasikan dalam tempoh terdekat, kata menterinya, Anthony Loke.

Beliau berkata walaupun rancangan itu masih di peringkat awal, kementerian berhasrat untuk mempercepatkan usaha berkenaan dalam usaha memanfaatkan hubungan serantau.

Katanya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan bersama Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra semalam turut membincangkan kepentingan pembinaan infrastruktur rel.

"Jika dilihat pada kenyataan bersama Malaysia dan Thailand semalam, ada rujukan mengenai usaha untuk meningkatkan lagi hubungan rangkaian rel dan jalan raya.

"Sememangnya kita mahu membina hubungan yang lebih baik dengan Thailand, khususnya dalam aspek rangkaian rel.

"Jika kesalinghubungan dengan Thailand dapat diperkukuh dan Thailand pula berhubung dengan Laos serta seterusnya China, ia pasti membantu merealisasikan rangkaian rel Pan Asia," katanya selepas merasmikan Sidang Kemuncak Malaysia-China 2024 di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Hairil Yahri Yaacob, Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz.

Anwar dan rakan sejawatnya dari Thailand semalam telah mengarahkan agensi berkaitan untuk mempercepatkan kemajuan dalam cadangan rangkaian rel berkembar antara Ipoh-Padang Besar dan Padang Besar-Hat Yai serta penjajaran kereta api berkelajuan tinggi di kedua-dua negara.

Ia selaras dengan aspirasi bersama mempromosikan hubungan lebih erat dan meningkatkan aliran rentas sempadan bagi barangan serta penumpang antara Malaysia dan Thailand, seterusnya di seluruh rantau ini.

Kedua-dua pemimpin turut menekankan kepentingan mempercepatkan rundingan memorandum persefahaman (MoU) berkenaan pengangkutan rentas sempadan bagi memudahkan pergerakan barangan dan penumpang.

Sementara itu, Loke berkata rangkaian rel Pan Asia sebenarnya sudah wujud, termasuk ASEAN Express, kereta api kargo antara Malaysia dan China.

Namun, katanya ia belum berkembang secara meluas kerana beberapa cabaran termasuk isu kastam dan pelepasan barangan.

"Antara cabaran utama ialah proses pelepasan barangan yang turut dibincangkan bersama Thailand. Kita berharap dapat memudahkan proses ini dan menjadikannya lebih cekap bagi mempercepatkan urusan transit barangan," katanya.

Menurutnya, langkah itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk meningkatkan perdagangan ASEAN menerusi pengoptimuman rangkaian rel.

"Ketersambungan adalah faktor utama. Tanpa sistem pengangkutan yang efisien, perdagangan tidak dapat berjalan dengan lancar.

"Oleh itu, Kementerian Pengangkutan sentiasa menyokong usaha meningkatkan perdagangan kerana kita adalah pemudah cara utama.

"Ketika ini, kebanyakan perdagangan dijalankan melalui laluan maritim. Bagaimanapun, kita berharap lebih banyak barangan dapat diangkut melalui kereta api selaras dengan agenda Malaysia memacu kesalinghubungan ASEAN," katanya.

Beliau turut menegaskan usaha kerajaan untuk membangunkan projek rel seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan projek landasan berkembar bertujuan mengurangkan kesesakan jalan raya serta menggalakkan penggunaan kereta api sebagai mod pengangkutan utama.

"Sebaik ECRL siap, kita akan melaksanakan inisiatif untuk memastikan infrastruktur rel ini dimanfaatkan sepenuhnya," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan