AM

Maxis Bawa Keceriaan Krismas Kepada Komuniti Di CSCC Kuching

18/12/2024 09:08 PM

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Maxis bersama-sama Pusat Sokongan Sosial Komuniti (CSSC) dan Kuching Food Aid membawa keceriaan musim perayaan kepada 100 masyarakat setempat termasuk warga emas dan gelandangan di CSSC Kuching, Sarawak hari ini.

Ketua Pengurusan Jualan Serantau – Sarawak, Maxis T. Bhaarathyraja yang mengetuai delegasi syarikat itu melahirkan kesyukuran kerana berpeluang menyebarkan kemeriahan perayaan di Kuching pada musim Krismas ini.

"Kami sentiasa komited untuk memberi kembali kepada masyarakat dan kami berharap telah dapat mencipta satu detik perayaan Krismas yang menggembirakan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menerusi sambutan bertemakan "Musim Harapan: Berkongsi Kegembiraan, Membina Hubungan", penyedia penyelesaian bersepadu terkemuka di Malaysia itu menganjurkan pelbagai aktiviti seperti nyanyian karol, menghias biskut dan permainan bingo, sebelum diakhiri dengan makan tengah hari bersama peserta yang turut disertai sukarelawan Maxis mSquad.

Selaras dengan tradisi tanggungjawab sosial korporat (CSR) perayaan Maxis, peserta masing-masing menerima bakul Krismas dengan barangan sedia untuk dimasak, serta pek SIM dan tambah nilai Hotlink.

Menurut kenyataan itu, Maxis turut menyumbang tilam untuk fasiliti transit gelandangan pusat itu dan bantuan makanan kering untuk bank makanan pusat berkenaan sebagai menyokong misi CSSC Kuching.

Sementara itu, Pengurus CSSC Kuching Emerlyn Rawlin berkata pihaknya berharap dapat mengadakan lebih banyak kerjasama dan peluang dengan Maxis untuk mencipta detik lebih bermakna bersama-sama pada masa depan.

"Bagi pihak CSSC, kami mengucapkan terima kasih kepada Maxis dan pasukan sukarelawan mereka kerana telah menganjurkan sambutan Krismas yang begitu bermakna dan menggembirakan, serta sumbangan para penderma yang begitu murah hati," katanya.

Dalam pada itu, Pengasas Kuching Food Aid Datin Shen-Tel Lee pula melahirkan perasaan gembira atas kejayaan penganjuran acara itu untuk masyarakat yang jarang mendapat peluang sebegini.

"Acara ini berlangsung penuh dengan aktiviti untuk para peserta dan benar-benar menjadi bualan ramai. Terima kasih kepada Maxis kerana menganjurkan sambutan yang begitu murah hati dan tidak dapat dilupakan," katanya.

CSSC Kuching telah beroperasi sejak 2022, bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak dan Elica Sdn. Bhd.

CSSC Kuching memberikan perkhidmatan kepada kumpulan terdedah seperti gelandangan, mangsa keganasan rumah tangga atau ketagihan, serta mereka yang menghadapi isu sosial manakala Kuching Food Aid menyediakan bantuan makanan penting kepada masyarakat kurang berkemampuan di Sarawak.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan