PUTRAJAYA, 19 Dis (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan terus memantau isu dakwaan penipuan oleh agensi pelancongan tidak berlesen yang dikendalikan seorang pempengaruh media sosial dan usahawan Malaysia yang menetap di Seoul, Korea Selatan.
MOTAC dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa tindakan sewajarnya akan diambil di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482), dengan kesemua mangsa digesa untuk membuat laporan polis serta aduan ke kementerian itu di pautan https://www.motac.spab.gov.my bagi membantu siasatan.
Menurut kenyataan itu, individu yang menjalankan perniagaan mengendalikan pelancong atau agensi pengembaraan tanpa lesen di bawah akta berkenaan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000, penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
“MOTAC sering menyarankan masyarakat supaya membeli pakej pelancongan daripada agensi pengendalian pelancong atau agensi pengembaraan yang berlesen bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” menurut kenyataan itu dengan senarai agensi berlesen boleh disemak di laman sesawang https:/www.motac.gov.my/semakan/tobtab.
Orang awam juga dinasihatkan sentiasa peka terhadap pemakluman rasmi kementerian dan membuat pengesahan terlebih dahulu terhadap pakej yang ditawarkan mana-mana agensi agar hak mereka sebagai pembeli terpelihara dan kes penipuan dapat dielakkan.
Media sebelum ini melaporkan polis telah menerima lima laporan daripada individu yang mendakwa menjadi mangsa penipuan pakej pelancongan ke Seoul yang ditawarkan seorang usahawan yang juga pempengaruh media sosial.
-- BERNAMA
© 2024 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan