AM

10,000 Produk Permainan Minda Berasaskan Braille B-Goolee Akan Diberi Percuma

19/12/2024 04:25 PM

IPOH, 19 Dis (Bernama) -- Sekurang-kurangnya 10,000 produk permainan cabaran minda, iaitu B-Goolee akan diberikan secara percuma kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan di sekolah rendah dan menengah termasuk institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara tahun depan. 

Pengasas Goolee Sdn Bhd Dr Kamarulzzaman Ahmad berkata ia sebagai usaha pihaknya dalam memastikan murid khususnya pendidikan khas dapat menikmati keseronokan bermain permainan minda. 

Kamarulzzaman berkata B-Goolee yang bermaksud Braille-Goolee ialah permainan cabaran minda inovatif, diinspirasikan daripada Boardgame Goolee dan juga aplikasi Goolee.

"Permainan ini bukan sahaja menghiburkan, tetapi turut membantu membangunkan kemahiran kognitif, kreativiti dan keupayaan menyelesaikan masalah dengan hasil rekaan yang teliti berasaskan Braille.

"B-Goolee hadir dalam tiga variasi, iaitu B-Goolee Ori, B-Goolee i-See, dan B-Goolee Spark dan setiap variasi ini menawarkan ciri-ciri unik selain bertindak sebagai alat pembelajaran yang amat berkesan, khas untuk individu kurang upaya penglihatan," katanya dalam sidang media selepas Program Pelancaran B Goolee bersempena dengan Pra-Sambutan Hari Braille Sedunia 2025 di sini hari ini. 

Turut hadir dan merasmikan majlis itu ialah Ahli Lembaga Pengarah Cradle Fund Tan Kar Hing merangkap Ahli Parlimen Gopeng serta Pengarah Eksekutif Majlis Kebangsaan Orang Buta Wong Yoon Loong. 

Kamarulzzaman berkata cabaran menghasilkan inovasi permainan ini ialah memastikan ia dapat dimainkan oleh mereka yang bergantung pada deria sentuhan dan pendengaran. 

"Proses awal melibatkan kajian mendalam tentang keperluan golongan OKU penglihatan termasuk cara mereka memahami dan berinteraksi dengan dunia melalui Braille dan tekstur. 

"Ujian prototaip dijalankan bersama komuniti kurang upaya penglihatan bagi memastikan permainan ini benar-benar sesuai untuk keperluan mereka dalam permainan berkenaan," katanya. 

Sementara itu, Tan berkata pihaknya menyambut baik usaha dilakukan oleh Goolee dalam usaha memberi peluang kepada golongan OKU penglihatan khususnya dalam produk permainan.

"Cradle Fund sebelum ini pernah memberi geran kepada Goolee dan kita akan pastikan usaha Goolee dapat diteruskan … saya nampak potensi produk ini dan saya harap lebih banyak lagi syarikat ataupun syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dapat menyalurkan geran bagi membantu usaha Goolee," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan