AM

Dua Pemancing Dilapor Hilang Selasa, Ditemui Selamat

19/12/2024 09:47 PM

SHAH ALAM, 19 Dis (Bernama) -- Dua lelaki tempatan ditemui selamat selepas dilaporkan hilang ketika keluar memancing di kedudukan 14 batu nautika barat Pulau Pintu Gedong, Selasa lepas.

Pengarah Maritim Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh dalam kenyataan berkata kedua-dua mereka dijumpai bersama jet ski terbalik pada kedudukan 19.8 batu nautika dari barat Pulau Pintu Gedong pada 3.45 petang hasil maklumat daripada Jabatan Laut Wilayah Tengah. 

“Anak kepada salah seorang mangsa memaklumkan bahawa Shahrul Hisham Mohd Tahir, 50, dan Micheal Januarius, 68, keluar memancing (pada 11.30 pagi) dengan menaiki jet ski sebelum dilaporkan hilang.

“Susulan itu, Sub Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru telah mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) pada 2 pagi, 18 Dis dan Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) telah ditubuhkan di jeti Royal Youth Club Selangor,” katanya. 

Beliau berkata kedua-dua mangsa dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah, Pelabuhan Klang dan selamat tiba pada 8.35 malam semalam.

Abdul Muhaimin berkata mangsa memaklumkan jet ski yang dinaiki mereka mengalami kerosakan enjin berikutan tali sauh tersangkut pada bahagian pendesak (impeller)

“Susulan itu, APMM menasihati komuniti maritim agar sentiasa berhati-hati ketika berada di laut dengan mengambil langkah-langkah keselamatan,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan