AM

Terminal Feri Labuan Sibuk, Sesak Menjelang Krismas

20/12/2024 03:50 PM

LABUAN, 20 Dis (Bernama) -- Menjelang perayaan Krismas, ditambah dengan musim cuti sekolah, Terminal Feri Roll-On Roll-Off (Ro-Ro) Labuan dan Terminal Feri Antarabangsa Labuan sibuk dan sesak dengan kehadiran penumpang tempatan serta pelancong, khususnya mereka yang ingin pulang ke Sabah dan Sarawak.

Ratusan kenderaan pelbagai jenis turut dilihat berbaris sepanjang lebih 300 meter menuju ke terminal feri seawal 7 malam.

Labuan Point Enterprise Sdn Bhd, syarikat pengurusan tiket yang mengendalikan perkhidmatan feri MV Joy Star, MV Kimanis 1, MV Putrajaya 1 dan MV Goodwill Star, memaklumkan permintaan terhadap tiket amat menggalakkan sejak jualan dibuka sebulan lepas bagi memenuhi keperluan sempena musim perayaan.

Pengurusnya Robert Ling ketika ditemui Bernama berkata operasi feri telah ditingkatkan iaitu daripada empat perjalanan sehari kepada sembilan bermula hari ini hingga minggu depan bagi menampung lonjakan jumlah pengembara.

Beliau berkata usaha berkenaan bagi memastikan perkhidmatan feri berjalan lancar dari pagi hingga 8 malam sekali gus mengurangkan kesesakan di terminal.

Ling sehubungan itu, menasihati pengembara supaya merancang perjalanan mereka sebaiknya dan tiba di jeti lebih awal bagi memastikan proses menaiki feri berjalan lancar berikutan jumlah pengembara yang tinggi.

Bagi mengendalikan operasi dengan lebih cekap, pihaknya telah mengambil beberapa langkah termasuk menambah bilangan petugas dan memperkemas proses jualan tiket.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan