AM

Malaysia Akan Suaikan Diri Dengan Era Trump , Kata Anwar

21/12/2024 05:07 PM

SUBANG, 21 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin Malaysia mampu menjaga keutamaan dasar luar dan ekonominya di tengah-tengah perubahan dinamik global, dengan Donald Trump dijangka kembali ke Rumah Putih pada Januari.

Menekankan bahawa Malaysia bersedia untuk mengadakan libat urus dengan pentadbiran Trump, Anwar berkata penting bagi negara mengekalkan hubungan dua hala yang kukuh dengan Amerika Syarikat (AS), terutamanya dalam sektor berteknologi tinggi.

Malah, beliau berkata Malaysia telah memulakan libat urus  awal dengan pasukan Trump untuk memastikan kesinambungan hubungan dua hala yang erat dengan AS, rakan dagang dan pelaburan utama negara.

"Ramai anggota pasukan saya telah berkomunikasi dengan pasukan berpotensi Presiden Trump, dan setakat ini, usaha awal ini agak positif," katanya pada sidang media di sini pada Sabtu.

Hadir sama pada sidang media itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.

Anwar menegaskan kepentingan AS sebagai pelabur kumulatif utama Malaysia, di samping kuasa besar global lain seperti China dan Jerman.

"Hubungan kita dengan pemain utama ini kekal baik, Google dan lain-lain syarikat teknologi utama Amerika masih berada pada tahap yang sangat baik," katanya.

Beliau mengakui kebimbangan mengenai kemungkinan perubahan dalam hubungan AS-China di bawah kepimpinan Trump tetapi menekankan pendekatan Malaysia untuk memupuk hubungan seimbang dengan kuasa besar dunia.

Beliau berkata pragmatisme dan keterlibatan strategik akan menjadi kunci kepada kestabilan dan pertumbuhan di rantau ini.

"Presiden Trump seorang yang pragmatik dan mempunyai kepintaran dalam perniagaan yang kuat. Kita mesti memastikan Malaysia terus mendapat manfaat daripada hubungan positif dengan AS sambil mengekalkan kestabilan serantau," katanya.

Anwar turut mengulangi tumpuan Malaysia terhadap kepusatan ASEAN, dengan menegaskan bahawa kekuatan kolektif blok itu akan memainkan peranan penting dalam menghadapi kerumitan ketegangan AS-China di bawah pentadbiran baharu.

Trump dijadualkan mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-47 pada 20 Jan 2025.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan