KOTA KINABALU, 21 Dis (Bernama) -- Penubuhan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di negeri ini membuka peluang kepada para suri rumah untuk menjana ilmu khususnya dari segi keusahawan sekali gus menjadi sumber pendapatan keluarga.
Bercakap kepada Bernama, suri rumah Rafidah Dzulkiflee, 46, berkata pada mulanya dia hanya menyertai rakannya ke NADI di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Sri Rugading Tuaran pada 2017 yang mengajar mengenai pendigitalan produk.
Katanya sebagai suri rumah sepenuh masa pada ketika itu yang tidak mempunyai pengetahuan mengenai digital, dia sangat teruja kerana di NADI, mereka diajar cara-cara untuk menjual produk secara dalam talian dan luar talian serta penjenamaan produk.
"Kebetulan pada masa itu, keluarga saya ada membuat popia udang yang hanya dijual pada musim perayaan sahaja. Namun, setelah menyertai NADI, saya nampak peluang untuk komersialkan produk ini.
"Hingga kini, saya menghasilkan popia udang mini dan dibantu oleh empat orang pekerja yang bertugas menggulung popia. Inti popia tersebut pula menggunakan resipi yang saya cipta sendiri," kata ibu kepada lima orang anak itu.
Rafidah berkata permintaan untuk popia udang mini yang dijual secara dalam talian serta di stesen minyak Petronas dan Shell, dengan harga antara RM8 hingga RM38 bergantung pada berat dan saiz, sangat menggalakkan. Produk ini turut mendapat permintaan daripada pelanggan di Brunei.
Suri rumah, Suzinah Sulid, 41, pula berjaya menghasilkan jus nanas pada 2018 selepas mengikuti tunjuk ajar NADI Pekan Puterajaya, selepas mendaftar sebagai ahli pada 2007 untuk mendapatkan akses internet yang lebih lancar.
Beliau berkata, dia tertarik dengan kursus-kursus yang ditawarkan oleh NADI, terutamanya kursus keusahawanan, dan selepas menyertai kursus tersebut, beliau berjaya menghasilkan produknya sendiri, termasuk kerepek kentang dan sambal lada udang.
"Saya mula aktif dengan NADI pada 2018, dan kursus-kursus di bawah NADI banyak membantu, antaranya menjual di aplikasi Shopee dan TikTok, belajar membuat pelekat, serta mengikuti kelas dalam talian," katanya, sambil menambah bahawa beliau menghasilkan produknya secara berperingkat.
Bercerita lanjut, Suzinah berkata produk keduanya iaitu sambal lada udang dihasilkan pada 2020 ketika negara dilanda COVID-19 kerana ketika itu berlaku lambakan lada di ladang adiknya di Kota Belud yang tidak dapat dijual.
Katanya bagi mengelak pembaziran, dia telah mengolah lada itu sehingga menjadi produk yang boleh menghasilkan pendapatan dan pada tahun lalu produk terbaharu yang dihasilkannya ialah kerepek kentang.
"NADI sangat membantu kerana dari tiada produk, saya dapat belajar mengenai penjenamaan, membuat pelekat untuk produk, semua itu saya pelajari di NADI," katanya.
Bagi Edithsia Pius, 31, meskipun belum berkeluarga, kemahirannya membuat kraftangan sulaman benang yang dipelajari melalui aplikasi Youtube pada 2012, dan penyertaannya di NADI Kampung Nosoob, Penampang awal tahun ini, telah memberinya sumber pendapatan.
Menurutnya, di bawah NADI banyak kelebihan yang diperoleh, bukan sahaja diajar pelbagai kursus kemahiran, tetapi ahli juga dimaklumkan tentang aktiviti jualan dan pameran yang boleh disertai.
"Kraftangan ini saya buat sendiri, kebanyakannya berbentuk patung seperti arnab, serigala, sotong, selain topi, baju dan rantai kunci yang dijual antara RM3 hingga RM130," katanya, sambil menambah bahawa beliau turut menerima tempahan rantai kunci dari sekolah dan untuk 'door gift' majlis perkahwinan.
Bagi Felix Joinsis, 52, dan isterinya Mary Gimpi, 50, yang berada di bawah NADI Luyang, mereka baru sahaja diperkenalkan kepada NADI melalui kawan-kawan sebelum menyertai pameran NADI Luyang yang mula beroperasi pada 18 Okt lalu.
Felix berkata sebelum ini mereka telah mempunyai produk sendiri iaitu mewarnakan baju menggunakan serbuk yang diimport dari luar negara, serta menghasilkan topi, kraftangan rantai kunci, dan beg.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial