JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki Dilaporkan Hilang Ditemukan Meninggal Dunia Dalam Kereta

21/12/2024 10:47 PM

KUANTAN, 21 Dis (Bernama) -- Seorang lelaki berusia 55 tahun yang dilaporkan hilang sejak 13 Dis lepas ditemukan meninggal dunia di dalam kereta di kawasan parkir berhampiran sebuah restoran di Sungai Isap di sini hari ini. 

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata Safri Mohd Ali yang beralamat di Kampung Hijrah di sini, dijumpai orang awam di dalam kereta Perodua Viva sekitar 4 petang tadi dalam keadaan tidak sedarkan diri. 

Beliau berkata sejurus menerima maklumat, polis bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang serta petugas kesihatan telah ke lokasi kejadian dan kematian Safri kemudian telah disahkan oleh penolong pegawai perubatan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA). 

Pemeriksaan di dalam kenderaan turut menemukan kad pengenalan, telefon bimbit dan beg galas milik Safri.

"Mayat Safri dibawa ke Jabatan Forensik HTAA untuk bedah siasat dan proses pengecaman telah dilakukan oleh ahli keluarganya," katanya dalam kenyataan malam ini.

Wan Mohd Zahari berkata siasatan awal polis setakat ini tidak menemukan sebarang unsur jenayah. 

Safri sebelum ini dilaporkan hilang sejak keluar dari rumah kira-kira 8 pagi 13 Dis lepas dengan memandu kereta Perodua Viva untuk mengambil ubat di Klinik Kesihatan Kampung Kurnia, di sini.

Laporan kehilangannya dibuat adiknya pada 14 Dis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan