BERITA TERGEMPAR   PM Anwar expresses condolences to the family of Egyptian Islamic movement activist Youssef Nada who passed away today | 
 AM

Kerajaan Salur Bantuan RM3.17 Juta Kepada 90 Rumah Ibadat Bukan Islam

22/12/2024 04:22 PM

KUALA LUMPUR, 22 Dis (Bernama) -- Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyalurkan bantuan khas berjumlah RM3.17 juta kepada 90 rumah ibadat bukan Islam. 

Bantuan kepada wakil pengurusan 89 kuil dan satu gereja di seluruh negara itu disampaikan menerusi Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R Ramanan.

Ramanan berkata peruntukan itu bukan untuk memperbaiki kuil atau gereja, tetapi ia lebih kepada program membantu rakyat dan inisiatif lain contohnya tuisyen atau bantuan kelas agama.

“Ia adalah peruntukan di bawah Kementerian Kewangan yang telah diluluskan Perdana Menteri, sekali gus menunjukkan komitmen beliau terhadap komuniti India,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan Rumah-Rumah Ibadat Masyarakat India di Brickfields, hari ini. 

Ramanan berkata bantuan berkenaan juga sekali gus menafikan dakwaan bahawa Perdana Menteri meminggirkan masyarakat India di negara ini. 

Beliau berkata walaupun Perdana Menteri tidak menyampaikan sumbangan tersebut sendiri, beliau sentiasa mengambil berat hal ehwal masyarakat India dan sering meminta pemimpin kaum itu untuk menjalankan amanah yang diberikan. 

“Kerja perlu dilakukan. Rakyat harus mendapat faedah. Isu sekarang mungkin kadang kita tak lihat beliau di pentas tetapi kami semua termasuk Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berbangsa India kami semua menjalankan kerja dan amanah diberikan Perdana Menteri,” katanya.

Ramanan berkata sepanjang dua tahun pentabdiran Perdana Menteri, hampir RM300 juta telah diperuntukkan dalam pelbagai program bagi peningkatan sosioekonomi masyarakat itu, meliputi 275 inisiatif di bawah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA). 

Sejak Kerajaan MADANI ditubuhkan pada Nov 2022, MITRA telah berjaya menggunakan 100 peratus peruntukan MITRA pada  2023 dan 98.9 peratus pada 2024 untuk kesejahteraan dan kebajikan masyarakat India di negara ini, katanya. 

“Ini sama sekali berbeza daripada tahun sebelumnya iaitu dari 2016 hingga 2022 dengan setiap tahun, banyak baki peruntukan tidak habis dibelanjakan oleh kerajaan terdahulu untuk pembangunan masyarakat India,” katanya. 

Beliau berkata Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Anwar telah memberi peruntukan tambahan RM136 juta secara keseluruhan untuk komuniti India di negara ini menerusi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), sekali gus membuktikan komitmen kerajaan memperkasa kaum India.

Perdana Menteri pada Sabtu menegaskan agar segala naratif berkaitan pemprofilan perkauman dalam isu pemberian bantuan dan usaha pembasmian kemiskinan tegar di negara ini dihentikan segera.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan