DUNIA

Prabowo Tidak Sihat, Pertemuan Dengan Anwar Ditangguhkan

23/12/2024 01:09 PM

KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) -- Pertemuan antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia Prabowo Subianto yang dijadualkan berlangsung di Pulau Langkawi, Kedah hari ini, ditangguhkan.

Anwar berkata beliau telah berada di Pulau Langkawi untuk pertemuan tersebut, namun Prabowo pada malam tadi, memohon penangguhan selama beberapa hari kerana keadaan kesihatannya yang kurang baik.

“Mendoakan agar Presiden Prabowo diberi kesembuhan secepat mungkin dan dapat meneruskan pertemuan antara dua negara ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa beliau dijadualkan mengadakan pertemuan dengan bekas Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra, di Langkawi pada Khamis ini (26 Dis).

Pada Sabtu lepas, Anwar menerusi sidang media khas Perdana Menteri di Subang, Selangor, memaklumkan bahawa beliau akan bertemu dengan Prabowo dan Thaksin untuk membincangkan isu-isu strategik serantau serta perkembangan ASEAN.

Anwar berkata pertemuan dua hala dengan Prabowo akan memberi tumpuan kepada pengukuhan hubungan baik antara kedua-dua negara, selain membincangkan peranan penting Indonesia sebagai negara anggota ASEAN yang strategik. 

Pertemuan dengan Thaksin pula menurut Perdana Menteri, dijangka menyentuh mengenai pelbagai isu pembangunan serantau serta pendekatan diplomatik untuk menyelesaikan cabaran bersama. 

Perdana Menteri baru-baru ini, mengumumkan pelantikan Thaksin sebagai penasihat tidak rasmi beliau dalam mempengerusikan ASEAN pada 2025. 

Malaysia secara rasmi akan memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 1 Jan ini dengan Tema Kepimpinan ASEAN 2025 Malaysia adalah 'Keterangkuman dan Kelestarian'. 

Sebelum ini, Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 1977, 1997, 2005 dan 2015. 

-- BERNAMA 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan