AM

Masyarakat Sabah Bersedia Sambut Krismas Dengan Meriah

24/12/2024 06:55 PM

KOTA KINABALU, 24 Dis (Bernama) -- Hari ini merupakan malam sebelum sambutan hari Krismas dan masyarakat di Sabah sedang bersiap sedia bagi menyambut perayaan itu secara meriah, dengan mengabungkan sambutan secara tradisi dan juga warisan tempatan.

Dalam persediaan sambutan dengan meriah di tengah-tengah Kota Kinabalu di sini, seorang Pegawai Pemasaran Stella Nuhudan, 34, menyiapkan hidangan Krismas khas untuk keluarganya dengan menghidangkan jeruk bambangan iaitu satu hidangan buah mangga tempatan ditapaikan, yang sering menjadi hidangan istimewa masyarakat di negeri itu (bambangan ialah sejenis mangga yang ditanam di Borneo).

“Masyarakat barat mereka biasanya sediakan ayam belanda panggang (untuk makan malam sebelum Krismas), tetapi di sini kami ada sayap dan paha ayam barbeku dengan jeruk bambangan untuk dimakan bersama nasi, sup ikan dan banyak lagi. Makanannya berbeza tetapi sambutannya tetap sama,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Stella seorang berasal daripada etnik Dusun berkata apa yang lebih penting ialah meluangkan masa bersama-sama, bercerita terutamanya tentang kehidupan seharian mereka, bergembira dan menyanyikan lagu-lagu karol Krismas hingga larut malam, sambil mengingati diri dan asal usul mereka.

“Selepas sembahyang, kami akan melawat jiran dan keluarga, bertukar-tukar makanan dan mengucapkan selamat untuk semua. Ini bukan sahaja dalam keluarga kita sendiri, ia mengenai seluruh komuniti yang bersatu padu. Selalu ada muzik gong, kulintangan (gong kecil) dan tarian, ia sangat meriah,” katanya.

Bagi seorang jurutera Jonathan Luping, 45, memandu selama enam jam dari Kota Kinabalu untuk pulang ke kampungnya yang terletak di kawasan terpencil di Tenom walaupun suatu yang memenatkan, namun amat berbaloi bagi membolehkan dia menyambut Krismas bersama ibu bapa dan adik-beradiknya.

“Krismas di kampung suatu yang sangat istimewa, ia disambut secara tradisi yang ringkas tetapi penuh bermakna. Kami akan memulakan hari dengan ke gereja dan kemudiannya makan bersama keluarga dengan pelbagai hidangan klasik Sabah, seperti sambal lada dan Manok Pansuh (masak ayam dalam buluh),” kata lelaki Murut itu.

Jeremiah Edward, 29, seorang penyelia kilang, pulang dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu menaiki pesawat semalam untuk bersama keluarganya pada Krismas ini, dan walaupun tiket penerbangan itu tidaklah murah, ia sangat berbaloi untuk bersama keluarga pada hari perayaan ini.

“Tiket sekitar RM600 hingga hampir RM1,000 agak mahal, tetapi meraikan Krismas di Sabah jauh berbeza dengan Kuala Lumpur. Walaupun sambutan lebih meriah mungkin di Kuala Lumpur, tetapi beraya bersama keluarga dan tradisi tempatan kami di Penampang, adalah suatu yang lebih baik bagi saya,” katanya.

Lelaki Kadazan itu berkata keluarganya biasanya akan mempunyai hinava iaitu sejenis salad ikan, dan tuhau iaitu halia liar yang ditapai, bersama-sama hidangan Krismas tradisional dan dia tidak sabar untuk menikmati hidangan itu selepas tidak memakannya selama lebih daripada setahun.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Sabah Jainal @ Zainal Madasin menasihatkan orang ramai supaya sentiasa menjaga aspek keselamatan diri, keluarga dan harta benda, sepanjang musim perayaan Krismas ini.

Beliau berkata di sebalik kesibukan membuat persiapan Krismas ini, orang ramai diingatkan supaya mengambil langkah keselamatan terutama melibatkan lampu perhiasan, lilin dan alatan memasak supaya tidak menyebabkan kejadian tidak diingini seperti kebakaran.

“Perayaan sering dikaitkan dengan peningkatan risiko kebakaran dan kemalangan, oleh itu, saya menyeru masyarakat supaya sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan perayaan ini berlangsung dengan selamat dan harmoni.

“Pastikan semua peralatan elektrik diperiksa, sambungan soket tidak terlebih beban dan suis dimatikan sebelum tidur atau meninggalkan rumah, begitu juga sekiranya menggunakan lilin untuk hiasan atau ibadah, letakkannya di tempat yang selamat dan jauh daripada bahan mudah terbakar,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan