AM

Nahas KM204: Khairul Ikhwan Petugas UKM Yang Dedikasi - Naib Canselor

24/12/2024 09:11 PM

KAJANG, 24 Dis (Bernama) -- Allahyarham Khairul Ikhwan Mazupi yang maut dalam kemalangan di KM204 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara di Melaka semalam, disifatkan sebagai petugas yang berdedikasi dan pemergiannya satu kehilangan besar buat Fakulti Pergigian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata Allahyarham yang berusia 32 tahun merupakan penolong jurutera dan banyak terlibat dalam projek pemindahan Fakulti Pergigian universiti itu di Jalan Raja Muda, Kuala Lumpur ke Cheras.

"Saya baru sahaja bermesyuarat dengan beliau bulan lepas bagi membincangkan projek pemindahan Fakulti Pergigian, Allahyarham banyak membantu dari segi penambahbaikan reka bentuk dan ruang fakulti,” katanya ketika ditemui pemberita di Surau Al-Ikhlas, Seksyen 4 Tambahan, Bandar Baru Bangi di sini hari ini.

Khairul Izwan dan isteri Fadzlenna Ramli, 32, serta anak bongsu mereka Muhammad Umar Khairul Ikhwan, 2, maut selepas bas persiaran dipercayai cuba mengelak daripada melanggar tayar yang tercabut dari sebuah lori treler, namun terbabas dan merempuh tiga kenderaan lain dari arah bertentangan termasuk kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandunya.

Turut terkorban ibu bapa Fadzlenna iaitu Ramli Ab Wahab, 66, dan Fauziah Jaafar, 69, yang menaiki MPV sama. 

Mohd Ekhwan berkata pihak universiti akan membantu menjaga kebajikan dua anak Allahyarham yang parah dan kini dirawat di Hospital Melaka. 

“Pernah berlaku ada kakitangan kita (UKM) meninggal dunia dan kita tanggung anaknya daripada kecil sampai sudah bekerja, jadi kita sedang fikirkan untuk guna kaedah itu atau lain-lain cara tetapi dari segi kebajikan kita ada berikan sumbangan khusus,” katanya.

Terdahulu, kira-kira 500 ahli keluarga dan rakan terdekat menghadiri solat jenazah lima sekeluarga berkenaan yang tiba di surau itu pada 5.45 petang. 

Dalam kejadian 8.45 malam semalam, tujuh maut manakala 33 cedera akibat kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran yang membawa 27 penumpang, dua lori, sebuah kereta dan MPV. 

Dua lagi yang maut ialah pemandu bas persiaran Noorisnien Khamid, 56, dan penumpang warga Singapura Lamrah Asid Ali, 66.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan