AM

Nahas KM204: Polis Rakam Keterangan Pemandu Treler Tayar Tercabut

25/12/2024 05:07 PM

MELAKA, 25 Dis (Bernama) -- Polis telah merakam keterangan pemandu treler yang tayarnya tercabut sehingga dipercayai menjadi punca kemalangan ngeri mengorbankan tujuh nyawa di Kilometer 204 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Ayer Keroh, di sini Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Ashari Abu Samah berkata keterangan pemandu berusia 31 tahun itu diambil pada malam kejadian, 23 Dis lepas bagi membantu siasatan kemungkinan wujud kecuaian yang mengakibatkan tayar hadapan treler berkenaan tercabut.

"Ujian saringan air kencing terhadap pemandu itu menunjukkan dia bebas daripada pengaruh dadah dan alkohol,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Ashari berkata polis kini berusaha mendapatkan rakaman kamera papan pemuka yang memaparkan tayar di atas lebuh raya seperti tular menerusi media sosial dengan pemilik kenderaan terlibat diminta tampil membantu siasatan.

Beliau berkata kemalangan itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan akan dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri selepas siasatan selesai dengan semua pihak diminta memberi ruang kepada polis menjalankan siasatan menyeluruh.

Semalam media melaporkan Datuk Mazupi Abdul Rahman iaitu bapa kepada pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Allahyarham Khairul Ikhwan Mazupi, yakin pihak polis sudah mengumpul bukti dan menjalankan siasatan ke atas insiden yang mengorbankan anak, menantu, cucu dan dua besannya. 

Mazupi juga yakin pihak berkuasa tidak akan berkompromi dengan individu yang didapati bersalah sehingga mengakibatkan kemalangan dua lori, sebuah bas dan dua kereta itu yang mengorbankan tujuh mangsa.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan