ISTANBUL, 27 Dis (Bernama-AA) -- Agensi penguatkuasaan undang-undang Azerbaijan dan Rusia tidak akan dibenarkan terlibat dalam penyiasatan forensik berhubung nahas pesawat Azerbaijan Airlines (AZAL) yang berlaku pada Rabu berhampiran bandar Aktau, kata Timbalan Perdana Menteri Kazakhstan Kanat Bozumbayev semasa sidang media di Aktau, Agensi Anadolu memetik agensi berita Kazinform.
Beliau menjelaskan bahawa larangan itu berdasarkan prosedur yang ditetapkan dalam Kod Jenayah Kazakhstan.
Namun, agensi dari kedua-dua negara akan dibenarkan menyertai siasatan umum berhubung insiden itu.
Mengulas punca kejadian, Bozumbayev berkata pihaknya belum menerima sebarang maklumat rasmi daripada Baku atau Moscow.
“Laporan media berdasarkan maklumat daripada sumber kerajaan.
"Kami sentiasa berhubung dengan rakan dari Azerbaijan, tetapi setakat ini tiada maklumat rasmi diterima dari Rusia atau Azerbaijan. Oleh itu, tiada asas untuk menafikan mana-mana versi,” katanya.
Pada Khamis, pegawai kanan Azerbaijan mengesahkan kepada Anadolu bahawa laporan media yang menyatakan nahas itu berpunca daripada sistem peluru berpandu Rusia adalah sahih.
Media Azerbaijan sebelum ini melaporkan, berdasarkan sumber kerajaan bahawa hasil awal siasatan menunjukkan pesawat itu diserang oleh sistem peluru berpandu Pantsir ketika menghampiri bandar Grozny.
Pada Rabu, penerbangan AZAL dengan 67 orang penumpang dan anak kapal berlepas dari Baku, menuju Grozny, terhempas kira-kira 3 kilometer dari Aktau, yang terletak di pesisir Laut Caspian.
Menurut pegawai Kazakhstan, seramai 38 orang terkorban dalam nahas pesawat Embraer 190 itu, manakala 29 lagi terselamat.
Bagaimanapun, Azerbaijan Airlines dan Agensi Pengangkutan Udara Persekutuan Rusia memaklumkan hasil siasatan awal menunjukkan nahas berpunca daripada perlanggaran dengan burung.
Namun, rakaman dari lokasi nahas menunjukkan terdapat lubang besar pada bahagian ekor pesawat, sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa pesawat itu mungkin ditembak jatuh.
-- BERNAMA-AA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial