KUALA KANGSAR, 28 Dis (Bernama) -- Kerajaan memberi jaminan bekalan kelapa mencukupi untuk menghadapi musim perayaan berturut-turut pada awal tahun depan, termasuk Tahun Baharu Cina, Ramadan, dan Aidilfitri.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata pihak kementerian sedang berunding dengan agensi berkaitan, seperti Fama Corporation Sdn Bhd, bagi memastikan bekalan kelapa dapat ditambah melalui import dari negara pengeksport, khususnya Indonesia.
“Sekarang harga santan agak tinggi, dan kita akan menghadapi perayaan yang berturut-turut. Kita juga berharap penanam kelapa tempatan dapat meningkatkan hasil bagi memenuhi permintaan domestik,” katanya kepada media selepas lawatan kerja ke Taman Agro Duriotourism di Mardi Kuala Kangsar, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Pengarah Mardi, Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani, dan Pengerusi Mardi, Dr. Azman Ismail.
Menurut Mohamad, untuk jangka panjang, kementerian amat menggalakkan penanaman kelapa sebagai usaha meningkatkan bekalan, dan beliau optimis kerana semakin ramai pengusaha menyedari potensi keuntungan dalam bidang ini.
“Memang benar pelaburan dalam sektor pertanian di Malaysia masih rendah berbanding negara lain, tetapi kita akan terus memberi galakan kepada mereka untuk melibatkan diri,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial