AM

AKEPT-UiTM Raih Anugerah Kertas Kerja Terbaik Persidangan Pendidikan Tinggi Di Istanbul

30/12/2024 05:36 PM

SHAH ALAM, 30 Dis (Bernama) -- Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) berjaya meraih Anugerah Kertas Kerja Terbaik menerusi pembentangan kertas kerja berkait pengurusan bakat berasaskan kompetensi di peringkat institusi pendidikan tinggi (IPT). 

AKEPT dalam kenyataan memaklumkan pencapaian cemerlang itu dirangkul menerusi kertas kerja bertajuk “An Institutional Leadership Framework on University Academics Decision to Become Institutional Leaders” yang dibentangkan di Persidangan Antarabangsa mengenai Isu Semasa Dalam Pendidikan 2024 (IC-CIE)  di Istanbul, Turkiye.

Menurut kenyataan itu kertas kerja tersebut menekankan kepentingan proses pemilihan bakat yang holistik bagi memastikan kesinambungan kepimpinan IPT sentiasa pada tahap cemerlang. 

Ia dibentangkan oleh kumpulan yang dianggotai Timbalan Pengarah Pusat Pengurusan Bakat AKEPT Profesor Madya Dr Norazharuddin Shah Abdullah, Ketua Penolong Setiausaha AKEPT Azian Azman serta dua pembentang dari UiTM iaitu Profesor Dr Erlane K Ghani dan Profesor Dr Ismie Roha Mohamed Jais. 

AKEPT turut memaklumkan sebagai entiti di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi, ia konsisten dalam menginstitusikan pengurusan bakat berasaskan kompetensi seiring dengan konsep MADANI yang memberi penekanan kepada nilai-nilai kepimpinan yang penting untuk mencorak generasi masa hadapan demi keperluan negara dalam pelbagai bidang. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan