AM

Proses Penggantian Lif Di PA Desa Rejang Telah Bermula - DBKL

31/12/2024 01:06 PM

KUALA LUMPUR, 31 Dis (Bernama) -- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)  memberi jaminan kepada penduduk di Perumahan Awam (PA) Desa Rejang bahawa isu berkaitan lif diberi perhatian yang amat serius dan tindakan segera dilakukan bagi memastikan lif kembali beroperasi terutamanya di blok D.

DBKL menerusi kenyataan memaklumkan proses penggantian lif di PA Desa Rejang telah bermula secara berperingkat oleh kontraktor yang dilantik.

PA Desa Rejang itu mempunyai 38 unit lif dengan18 daripadanya sedang dalam proses penggantian manakala bagi baki 20 unit lif yang sepatutnya beroperasi, hanya 14 unit lif sahaja yang boleh beroperasi setakat ini. 

“Ekoran kejadian lif “overshoot“ yang berlaku baru-baru ini, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) telah membuat pemeriksaan di tapak pada 18 Dis lepas dan mengarahkan dua unit lif di Blok D ditutup dan satu unit lif dalam pelaksanaan penggantian. Situasi itu menyebabkan Blok D tidak mempunyai lif untuk kegunaan penduduk sehingga ke tarikh ini,” menurut kenyataan itu.

DBKL berkata pada 19 Dis lepas Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif telah ke lokasi kejadian bagi meninjau serta bertemu dengan penduduk yang terkesan seterusnya berusaha untuk mempercepatkan proses pemeriksaan untuk kelulusan lif tersebut. 

Menurut kenyataan itu berdasarkan pertemuan Datuk Bandar bersama Pengarah JKKP semalam, kontraktor terlibat didapati telah menghantar permohonan bagi pemeriksaan satu unit lif di Blok D kepada JKKP  dan akan melakukan pre-inspection oleh Orang Yang Kompeten (Competent Person).

“Pihak JKKP dijangka membuat pemeriksaan untuk kelulusan Permit Mesin Angkut (PMA) ke atas satu unit lif di Blok D dalam minggu ini setelah pre-inspection dilaksanakan dan tertakluk kepada kelulusan Permit To Install (PTI).

“DBKL ingin menegaskan bahawa keselamatan penduduk adalah keutamaan kami. Oleh itu, DBKL akan terus memantau perkembangan ini dengan teliti dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi jadual kerja yang telah ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kerja penggantian dan pembaikan lif di PA Desa Rejang akan dilakukan secara berperingkat. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan