AM

Sg Golok Melimpah: Peniaga Di Rantau Panjang Tutup Kedai Awal

31/12/2024 08:50 PM

PASIR MAS, 31 Dis (Bernama) -- Peniaga di Zon Bebas Cukai Rantau Panjang di sini bertindak mengemas dan menyimpan barangan jualan mereka seawal 2 petang tadi, susulan bimbang dengan paras air Sungai Golok yang melimpah dan diramal meningkat secara mendadak.

Tinjauan Bernama petang tadi mendapati kawasan itu lengang dengan banyak premis telah ditutup.

Peniaga selipar dan anak patung, Nurul Atikah Adli, 21, berkata dia telah menyimpan barangan jualan di tempat tinggi bagi mengelak dibasahi air sebagai persiapan menghadapi sebarang kemungkinan.

“Sebelum ini, saya akan membuka kedai seawal 10 pagi hingga 7 malam namun limpahan air dari Sungai Golok menyebabkan saya terpaksa menutup premis lebih awal, bimbang barangan jualan terjejas.

“Dalam kejadian banjir pada November lepas, saya tidak menyangka paras air di sini mencecah sehingga ke paras pinggang menyebabkan saya menanggung kerugian besar,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Peniaga Melayu Rantau Panjang, Ramli Abdullah berkata kebanyakan peniaga menutup premis sebagai langkah bersiap sedia menghadapi banjir.

Jabatan Pengairan dan Saliran memaklumkan paras Sungai Golok telah melebihi paras bahaya iaitu 10.15 meter daripada paras normal lima meter setakat 7.30 malam ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan