AM

Op Khas Tahun Baharu: JPJ Periksa Lebih 12,000 Kenderaan Di Enam Negeri

01/01/2025 02:09 PM

KUALA LUMPUR, 1 Jan (Bernama) -- Lebih 12,000 kenderaan diperiksa dalam operasi tahun baharu yang dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di enam negeri iaitu Wilayah Persekutuan melibatkan ibu negara dan Putrajaya, Selangor, Pahang, Perak, Pulau Pinang serta Terengganu, hingga awal pagi ini.

Di ibu negara, 731 kenderaan diambil tindakan atas pelbagai kesalahan dengan 117 kenderaan disita termasuk 101 motosikal, hasil pemeriksaan terhadap 5,094 kenderaan dalam Op Ambang Tahun Baharu 2025 malam tadi.

Pengarah JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) Hamidi Adam berkata operasi yang bermula  8 malam itu memfokuskan kepada keselamatan dan pematuhan undang-undang lalu lintas bagi penunggang motosikal 

“Dalam operasi yang turut disertai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) itu, 75 pemandu warga asing dari beberapa negara termasuk Pakistan, Indonesia, Bangladesh, dan Sri Lanka diperiksa dengan 30 daripadanya ditahan.

“Selain itu, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) turut melakukan saringan ujian air kencing ke atas 26 individu. Dua daripadanya didapati positif dadah jenis Methamphetamin manakala seorang positif dadah jenis Opiat," katanya kepada pemberita malam tadi. 

Dalam Op Bersepadu Samseng Jalanan yang dilakukan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur pula, 38 motosikal disita dan 92 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya tiada lesen memandu, tiada cermin sisi, lesen tamat tempoh dan kesalahan nombor pendaftaran.

Di PUTRAJAYA, Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) ASP Khairulrahman Rahmat berkata 85 kenderaan kebanyakannya motosikal diperiksa dan 36 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam Op Ambang Tahun Baharu yang dilakukan di Persiaran Utara dan Jambatan Gemilang.

Di SELANGOR, 7,124 kenderaan termasuk kenderaan berat diperiksa dalam operasi khas semalam dan 827 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya dengan kesalahan paling banyak dilakukan tiada lesen memandu (173) dan cukai jalan tamat tempoh (103). 

Pengarah JPJ Selangor Azrin Borhan berkata tiga individu turut ditahan setelah didapati positif dadah hasil ujian air kencing yang dijalankan oleh AADK dalam operasi yang dijalankan di seluruh Selangor.

Di PAHANG, Pengarah JPJ negeri Syed Ahmad Khairulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman berkata 555 notis saman dikeluarkan selepas 2,741 kenderaan diperiksa dalam tempoh hampir empat jam bermula 8 malam semalam menerusi operasi khas yang dijalankan di lima lokasi di negeri itu. 

Notis saman dikeluarkan antaranya melibatkan kesalahan tiada lesen memandu, cukai jalan dan insurans tamat tempoh, malah 25 motosikal turut disita dalam operasi bersepadu yang melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan AADK itu. 

Di PERAK, Pengarah JPJ negeri Mohammad Yusoff Abustan berkata 271 notis saman dikeluarkan hasil pemeriksaan terhadap 750 kenderaan dalam operasi khas yang dilakukan di Persiaran Meru Raya 3, malam tadi. 

Beliau berkata daripada jumlah itu 184 kenderaan diambil tindakan melibatkan 172 motosikal, kereta (11) serta sebuah bas dengan kesalahan paling banyak direkodkan tidak memiliki lesen memandu kompeten (CDL)  128 kes, lesen kenderaan motor (LKM) dan insurans tamat tempoh (98) serta kesalahan lain.

"Dalam operasi bermula 6 petang hingga tengah malam itu tiga kereta, 21 motosikal dan satu lain-lain kenderaan turut disita manakala hasil 10 saringan ujian air kencing dilakukan dengan dua didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Opiat," katanya. 

Di PULAU PINANG, Pengarah JPJ negeri Zulkifly Ismail berkata 540 motosikal diperiksa dalam operasi bersepadu yang dilakukan di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB), Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah bermula 6 petang semalam hingga 3 pagi tadi.

“Dalam operasi di LLB, 135 penunggang motosikal dikenakan saman atas pelbagai kesalahan dan lapan motosikal disita,” katanya selepas Op Khas Motosikal di Plaza Tol Bagan Ajam LLB, yang disertai 104  penguat kuasa JPJ, PDRM, Jabatan Alam Sekitar, AADK dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. 

Di TERENGGANU, Pengarah JPJ negeri Zamri Samion berkata 6,267 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan hasil pemeriksaan ke atas 27,239 motosikal dalam tempoh dua bulan pelaksanaan Op Khas Motosikal yang bermula 1 Nov lepas

Beliau berkata dalam tempoh itu 858 lain-lain notis turut dikeluarkan dan 231 motosikal disita atas pelbagai kesalahan termasuk ubah suai kenderaan yang ekstrem selain kesalahan paling banyak dilakukan nombor pendaftaran ekstrem, lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh, dan tiada cermin sisi.

“Selain itu bagi Op Khas Gempur Teknikal Kenderaan Perdagangan pula, 338 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam tempoh tujuh hari pelaksanaan bermula 25 Dis lepas, hasil pemeriksaan ke atas 1,015 kenderaan perdagangan,” katanya ketika Op Khas Motosikal di Jambatan Sultan Mahmud malam tadi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan