AM

Mohd Na'im, Mohamad Sabu Ucap Selamat Maju Jaya Kepada Calon SPM 2024

02/01/2025 04:40 PM

KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar mengucapkan selamat maju jaya kepada semua calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hari ini.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau turut mendoakan mereka diberikan kesihatan yang baik dan beroleh kejayaan dalam peperiksaan berkenaan.

“Selamat maju jaya kepada semua anak-anak yang menduduki peperiksaan SPM.

“Semoga diberikan kesihatan, ketenangan jua dipermudah segala urusan untuk menjawab soalan dengan sempurna. Saya mendoakan kejayaan anak-anak semua,” katanya.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu turut mengucapkan selamat maju jaya kepada semua calon SPM yang memulakan ujian bertulis hari ini.

“Inilah masanya untuk anda membuktikan usaha, dedikasi, dan kesungguhan yang telah dicurahkan sepanjang tempoh pembelajaran. Anggaplah ujian ini sebagai satu langkah ke arah mencapai impian dan masa depan lebih cemerlang.

“Jangan lupa untuk menjaga kesihatan, tenang dalam menghadapi peperiksaan, dan yakin dengan kemampuan diri anda. Sentiasa ingat, kejayaan bukan sahaja dinilai melalui keputusan, tetapi juga usaha yang anda telah lakukan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Beliau juga mendoakan kejayaan cemerlang buat calon SPM dan segala usaha dan perjuangan mereka diberkati Allah SWT.

Sebanyak 402,956 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM 2024 bermula hari ini hingga 6 Feb depan, melibatkan peperiksaan bertulis.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa menerusi Facebooknya mengucapkan selamat menduduki peperiksaan SPM khususnya kepada anak-anak di Parlimen Sekijang dan Wilayah Persekutuan.

“Sentiasa ingat bahawa peperiksaan SPM ini bukanlah destinasi terakhir, tetapi merupakan pintu gerbang kepada masa depan yang lebih luas dan mencabar di luar sana. Yakinlah pada usaha dan persediaan yang telah dilakukan.

“Doa kami sentiasa mengiringi anda. Semoga sentiasa diberikan ketenangan hati, ketajaman fikiran dan kesihatan yang baik,” katanya.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir masing-masing turut mengucapkan selamat maju jaya kepada calon SPM 2024.

Fahmi, melalui hantaran di Facebook hari ini, menasihatkan pelajar agar yakin pada diri sendiri dan kebolehan mereka.

“Kepercayaan diri adalah kunci kejayaan sejati. Selamat menduduki peperiksaan SPM buat adik-adik semua! You can do this,” katanya.

Sementara itu, Zambry mengingatkan pelajar supaya memberikan yang terbaik, berusaha bersungguh-sungguh, dan bertawakal atas segala usaha.

“Saya mendoakan kejayaan setiap anak-anak pelajar calon SPM 2024. Rancang dengan teliti dan teruskan usaha untuk mencapai apa yang diingini,” katanya di Facebook.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan