AM

KPM Sentiasa Kerjasama Dengan NADMA, MetMalaysia Bantu Calon SPM Terbabit Bencana

02/01/2025 11:15 AM

IPOH, 2 Jan (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) bagi membuat persediaan awal membantu mana-mana calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terbabit bencana.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata bantuan tidak hanya tertumpu kepada mereka yang terjejas banjir malah apa jua jenis bencana.

“Bagi mana-mana pelajar ataupun negeri yang terlibat dengan bencana, pihak KPM telah bersedia untuk ‘Operasi Payung’ sebagai usaha memastikan kehadiran anak-anak kita menduduki SPM. 

“Jadi itu komitmen dan usaha daripada KPM dan pada masa sama, KPM pada setiap masa bekerjasama dengan pihak NADMA dan Jabatan Meteorologi untuk membuat persediaan awal berkaitan segala perkara yang diperlukan sekiranya berlakunya sama ada bencana banjir atau bencana lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan kata-kata motivasi kepada calon SPM Sekolah Menengah Kebangsaan Kampong Pasir Puteh di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Pendidikan Negeri Perak Safuan Raba’ai dan Ahli Parlimen Ipoh Timur Howard Lee.

Wong berkata dengan usaha yang telah dilaksanakan KPM sewaktu bencana banjir pada Ujian Bertutur SPM bulan lepas, pihaknya yakin mampu mengendalikan situasi berbangkit sekiranya berlaku bagi memastikan kebajikan dan kehadiran pelajar untuk menduduki SPM berjalan lancar.

Beliau turut meminta calon SPM yang mengalami sebarang masalah menghubungi bilik gerakan Lembaga Peperiksaan menerusi talian 03-8889 3551 atau 03-8889 3601 dan Jabatan Pendidikan Negeri 05-501 5170, 05-501 5177 atau 05-501 5264.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan