AM

Takungan Pecah: Pemaju Pertimbang Bayar Ex Gratia Kepada Penduduk - Exco

02/01/2025 02:39 PM

KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) -- Pihak pemaju sedang mempertimbangkan untuk membayar ex-gratia (sagu hati) kepada penduduk Taman Seri Alam, Saujana Utama yang terjejas akibat kolam takungan air bersebelahan perumahan itu pecah Sabtu lepas.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor Datuk Ir Izham Hashim berkata satu pertemuan akan diadakan hari ini melibatkan wakil penduduk dan pihak pemaju bagi membincangkan kadar pampasan yang akan diberikan kepada penduduk.

“Kita dapati pada perbincangan awal memang mereka (pemaju) ini bersedia memberikan pampasan, sebenarnya bukan pampasan lah tetapi lebih kepada ex gratia, yang kadarnya akan ditentukan dalam perbincangan hari ini. Saya akan meneliti perkara ini dan kita akan bantu mereka. 

“Di pihak kerajaan juga, di bawah Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) sebenarnya kita sedang teliti jenis bantuan dan sokongan yang boleh diberikan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Pasar Raya Ehsan Mart yang kedua di Pandan Utama, Ampang di sini hari ini. 

Beliau berkata sumbangan itu akan diberikan berdasarkan kadar kerugian penduduk yang terjejas. 

“Setakat ini kita telah mengkaji aspek teknikal dan mengenal pasti penyelesaiannya dan kami akan perincikannya dalam minggu ini. Saya nak tengok lagi langkah yang boleh diambil untuk jangka masa panjang dan sekarang ini tindakan untuk jangka pendek sedang dilaksanakan dan hampir siap,” katanya. 

Selasa lepas, media melaporkan penduduk Taman Sri Alam di Saujana Utama meminta pihak pemaju kolam takungan air bertanggungjawab serta membayar ganti rugi kepada penduduk disebabkan kejadian serupa pernah terjadi pada Disember 2015 lepas yang menyebabkan banjir kilat. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan