Oleh Muhammad Adil Muzaffar Mohd Fisol
PUTRAJAYA, 2 Jan (Bernama) -- Pelaksanaan pembaharuan kemudahan autogate menggunakan sistem kod respon pantas (QR) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), tidak akan menjejaskan keselamatan, khususnya berhubung pelepasan warga asing masuk ke dalam negara.
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memaklumkan kepada Bernama bahawa pelbagai prosedur dan langkah keselamatan telah dibangunkan, bagi menyaring kemasukan pelawat yang menggunakan kemudahan tersebut.
Menurut JIM warga asing yang menggunakan kemudahan itu, perlu bebas daripada senarai syak dan senarai hitam serta telah mengisi Malaysia Digital Arrival Card (MDAC), kecuali warga Singapura yang tidak disyaratkan mengisi MDAC.
“Selain itu, maklumat kemasukan warga asing juga perlu dipadankan dengan data biometrik serta pengecaman wajah yang terkandung dalam cip pasport.
“Kegagalan mereka melepasi syarat-syarat ini akan menyebabkan mereka tidak dapat untuk melalui autogate dan seterusnya akan dirujuk kepada pegawai Imigresen untuk urusan seterusnya,” menurut maklum balas yang disediakan unit komunikasi korporat jabatan tersebut kepada Bernama.
JIM memaklumkan sebagai langkah pemantauan ke atas kemasukan warga asing yang menggunakan autogate, langkah kawalan dan penguatkuasaan dilaksanakan sejak kemudahan pengecualian visa diperkenalkan pada tahun 2023.
Menurut JIM antara langkah kawalan dan penguatkuasaan yang dilaksanakan ialah penubuhan pasukan khas pemantau pergerakan keluar pelawat China dan India, aktiviti naziran di kawasan tumpuan warga asing serta prosedur ketat berhubung pemberian Notis Penolakan Masuk.
“Proses kemasukan juga masih mengekalkan semakan keselamatan yang pelawat perlu mengemukakan tiket pulang dan bukti penginapan seperti butiran tempahan hotel yang sah,” menurut maklum balas itu.
Tempoh percubaan penggunaan Kod Respons Pantas (QR) bagi melancarkan sistem pelepasan imigresen khusus di 40 lorong khas di KLIA Terminal 1 dan 2, bermula semalam.
Antara kelebihan penggunaan kod QR ialah tempoh pelepasan imigresen hanya mengambil masa yang singkat iaitu antara lima hingga tujuh saat berbanding 15 hingga 25 saat menggunakan pintu automatik konvensional.
Kemudahan berkenaan diberikan kepada warganegara 63 negara yang dikenal pasti serta warganegara Malaysia.
Bagi menjamin kelancaran di autogate berikutan peningkatan jumlah pengguna, JIM memaklumkan laluan penggunaan autogate dibahagikan kepada dua laluan, iaitu laluan warganegara dan bukan warganegara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial