AM

Menara Penghantaran Monopole TNB Di P. Pinang Mula Beroperasi

02/01/2025 06:02 PM

GEORGE TOWN, 2 Jan (Bernama) -- Projek Menara Penghantaran Monopole Tenaga Nasional Berhad (TNB), yang bertujuan mengukuhkan bekalan elektrik di Pulau Pinang dengan nilai RM500 juta, telah memulakan operasi pada 22 Dis lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeriZairil Khir Johari berkata projek yang dilancarkan pada penghujung 2022 ini melibatkan penyambungan terus bekalan elektrik melalui penghantaran talian atas monopole 275kV sepanjang 8.5 kilometer yang dibina selari dengan Jambatan Pulau Pinang.

"Semasa (pembinaan) projek berlangsung, kerajaan negeri ada meminta lampu di menara dinyalakan sebagai tarikan, yang kini dilakukan bermula 7 malam hingga 4 pagi dengan saya dimaklumkan terdapat 200 palet warna berbeza yang boleh dinyalakan mengikut tema," katanya pada sidang media di Komtar di sini hari ini.

Zairil berkata perasmian projek itu, yang merupakan kedua seumpamanya di Malaysia selepas projek pertama sepanjang 4.2km yang menghubungkan Pantai Siring ke Pulau Besar di Melaka, dijadualkan berlangsung dalam tempoh dua bulan ini. 

Projek itu yang menghubungkan Pencawang Masuk Utama (PMU) Stesen Janakuasa (SJ) Perai ke PMU The Light, melibatkan pembinaan 31 menara monopole dengan reka bentuk buah pinang yang unik, mencerminkan budaya tempatan dan menambah daya tarikan estetik.

Lampu yang dipancarkan dari menara monopole juga menjadi mercu tanda dan tarikan pelancongan baharu di Pulau Pinang, dengan pancaran cahaya berwarna biru, kuning, dan putih, simbolik kepada bendera negeri itu, dipancarkan tepat pada pukul 12 tengah malam 31 Dis lepas, meriahkan lagi sambutan ambang tahun baharu 2025.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan