KOTA BHARU, 2 Jan (Bernama) -- Kerajaan Kelantan memperuntukkan sebanyak RM6.79 juta bagi menggalakkan sektor pertanian di negeri ini bagi tahun 2025, kata Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Beliau berkata peruntukan itu melibatkan enam tumpuan utama iaitu merealisasikan Kelantan Jelapang Makanan Negara serta menambah baik gerakan pertanian Al-Falah.
Untuk mengkomersialkan Rong Chenok Agro Valley di Pasir Mas beliau berkata pihaknya mewujudkan kilang padi Darulnaim, kilang makanan ternakan serta mengembangkan Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan Lojing (CPPC Lojing).
“Transformasi yang dilakukan diharapkan memberikan impak kepada peningkatan eksport dan pembangunan industri makanan terutama memanfaatkan kekuatan Kelantan sebagai pengeluar hasil tani berkualiti tinggi.
“Menerusi inovasi dan nilai tambah dalam pertanian juga, lebih produk pertanian Kelantan seperti hasil padi, durian dan produk organik akan menembusi pasaran sekali gus memberikan impak positif kepada ekonomi negeri secara keseluruhan,” katanya pada Majlis Amanat Tahun Baharu dan Perhimpunan Penjawat Awam Kelantan 2025 di sini hari ini.
Sementara itu, Mohd Nassuruddin berkata pihaknya komited menyediakan bekalan air bersih dengan melaksanakan penggantian paip lama secara menyeluruh menerusi petunjuk prestasi utama (KPI) yang perlu dicapai iaitu 898.08 kilometer (km) daripada 3,613 km paip perlu ditukar bagi mengurangkan kadar Air Tidak Terhasil (NRW), tahun ini.
“Jadual pelaksanaan ini hendaklah diikuti dengan ketat oleh Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) termasuk jadual menaik taraf loji rawatan sedia ada untuk meningkatkan kecekapan dan kualiti bekalan air,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan Kelantan mencatatkan surplus sebanyak RM10.92 juta menjelang penghujung 2024.
Beliau turut mengumumkan tawaran pemberian diskaun sebanyak 90 peratus ke atas tunggakan denda cukai tanah yang sepatutnya berakhir pada 30 Dis 2024 namun dilanjutkan hingga 31 Mac 2025.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial