AM

Pelan Struktur Perparitan, Saliran Perkasa Usaha Pengurusan Banjir Di Kelantan

02/01/2025 08:16 PM

KOTA BHARU, 2 Jan (Bernama) -- Kerajaan Kelantan akan memperkasakan usaha meningkatkan kecekapan pengurusan bencana melalui pelan struktur perparitan dan saliran di seluruh kawasan yang terlibat banjir, kata Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Beliau berkata usaha berkenaan akan dilaksanakan melalui pembinaan longkang konkrit dan sistem saliran mesra alam yang lebih moden.

“Pelan Induk Sistem Saliran Mesra Alam (PISMA) di bandar-bandar utama pula berperanan memastikan risiko banjir kilat dapat diminimumkan melalui sistem saliran lebih efisien dan berdaya tahan,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu dan Perhimpunan Penjawat Awam Kelantan Tahun 2025 di Dewan Tok Guru Datuk Bentara Setia, Kota Darulnaim di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan jumlah kerugian akibat banjir di Kelantan baru-baru ini dianggarkan bernilai lebih RM300 juta meliputi kerosakan infrastruktur seperti bangunan, jalan raya dan sektor pertanian serta kerugian lain.

Dalam perkembangan sama, Mohd Nassuruddin turut memaklumkan kerajaan negeri telah meminda Enakmen Sumber Air Negeri Kelantan bagi memastikan penekanan kepada penjagaan kawasan tadahan air dan sungai bagi memastikan keseimbangan ekologi dipelihara. 

“Usaha ini bertujuan meningkatkan kecekapan pengurusan sumber air di negeri ini yang akan memastikan kelestarian dan kualiti air untuk kegunaan rakyat serta melindungi ekosistem semula jadi,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan