AM

Banjir Di Perak Pulih, Jumlah Mangsa Di Johor Dan Kelantan Terus Menurun

02/01/2025 09:33 PM

KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) -- Situasi banjir di Perak pulih sepenuhnya selepas pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir ditutup tengah hari tadi, manakala jumlah mangsa di Johor dan Kelantan masing-masing terus berkurangan malam ini.

Banjir yang melanda Kampung Chinggong di daerah Muallim, PERAK pulih sepenuhnya selepas baki 307 mangsa daripada 59 keluarga yang berlindung di PPS Dewan Kampung Asli Chinggung, dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Sekretariat Jawatankuasa Bencana Negeri Perak memaklumkan PPS berkenaan yang beroperasi sejak 31 Dis ditutup sepenuhnya tengah hari tadi.

Sementara itu, jumlah mangsa di JOHOR berkurangan kepada 27 orang setakat 8 malam ini, berbanding 69 orang pagi tadi susulan penutupan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gembut pada 11 pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Tan Sri Dr Azmi Rohani dalam kenyataan memaklumkan hanya sebuah PPS yang masih beroperasi iaitu Balai Raya Kampung Perpat di Kota Tinggi.

Di KELANTAN, jumlah mangsa yang berlindung di PPS SK Gual Tok Deh, Rantau Panjang sedikit menurun kepada 36 orang malam ini berbanding 38 orang pagi tadi.

Portal infobanjir.water.gov.my Jabatan Pengairan dan Saliran mencatatkan Sungai Golok di Rantau Panjang kekal pada paras amaran iaitu lapan meter setakat 7.45 malam.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan