AM

Wanita Cedera Di Perut Ditikam Anak Saudara Perempuan

03/01/2025 11:29 PM

BUTTERWORTH, 3 Jan (Bernama) -- Seorang wanita mengalami kecederaan di bahagian perut selepas ditikam dengan pisau oleh anak saudaranya ketika berlaku pertengkaran mulut antara mereka dalam kejadian di sebuah flat di Jalan Perai Jaya, Perai, pada hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Helmi Aris berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 11.30 pagi, yang melibatkan mangsa berusia 35 tahun yang ditikam di bahagian perut oleh anak saudaranya.

"Berdasarkan siasatan awal, remaja perempuan berusia 14 tahun itu tinggal bersama ibu saudaranya sejak empat hari lalu kerana menghadapi masalah keluarga. Kejadian tikaman itu berlaku ketika mereka berada di ruang tamu rumah tersebut," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, pertengkaran mulut berlaku antara mereka apabila suspek ingin kembali tinggal bersama ibu kandungnya, namun dihalang oleh mangsa.

Katanya mangsa dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut manakala suspek ditahan di lokasi kejadian bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan menggunakan senjata.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan