KUANTAN, 4 Jan (Bernama) -- Seorang pengurus syarikat mengalami kerugian RM156,424 akibat terperdaya dengan pelaburan saham tidak wujud yang menjanjikan keuntungan lumayan.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata lelaki berusia 56 tahun itu ditawarkan dengan pelaburan daripada sebuah syarikat dikenali Clearbridgeleader.com melalui aplikasi WhatsApp pada September lepas.
Beliau berkata mangsa telah dijanjikan mendapat pulangan lumayan hingga 20 peratus setiap bulan sekiranya melabur dalam tukaran mata wang asing dengan pelaburan sebanyak RM10,000.
“Terperdaya dengan keuntungan tersebut, mangsa telah melakukan 18 kali transaksi berjumlah RM156,424.73 ke empat akaun bank berbeza sepanjang tempoh 26 Sept hingga 18 Dis. Mangsa menyedari dirinya ditipu apabila diminta membuat bayaran tambahan sebanyak RM7,000 untuk mengeluarkan keuntungan daripada pelaburan itu.
“Sumber kewangan adalah wang simpanan dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, Yahaya menasihati orang ramai untuk membuat semakan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang pelaburan secara dalam talian dan tidak mudah terpengaruh dengan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial