KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan keyakinan terhadap keupayaan anak muda membawa suara majoriti rakyat untuk mempertahankan kebenaran dan menegakkan keadilan.
Berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan Majlis Belia Malaysia ke-73 hari ini, Anwar berkata anak muda harus menjadi jurubicara kepada suara hati rakyat pelbagai bangsa bagi membela nasib mereka.
“Negara ini negara hukum, ada prinsip Perlembagaan dan ada komitmen terhadap majoriti rakyat kerana masih ramai belum ada pembelaan yang wajar.
“Jadi, mesej saya, pilihlah (pemimpin) dalam kalangan yang dapat menjiwai semangat ini, carilah pemimpin generasi muda, bukan pemimpin kelompok korup, malas dan pemimpin ini perlu mempunyai keberanian … untuk mempertahankan kebobrokan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian mesyuarat berkenaan yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini.
Anwar berkata anak muda mempunyai keistimewaan, iaitu idealisme dan kekuatan semangat untuk membawa perubahan sekali gus menumpukan usaha untuk menyelesaikan isu yang membebani rakyat.
Beliau berkata sekiranya pemikiran dan sikap belia itu hambar dan mudah bertoleransi dengan penyelewengan, maka mereka akan terjerumus dengan kelompok tertentu sehingga gagal merasai cetusan hati nurani rakyat.
“Rakyat yang merempat masih banyak, mutu pendidikan semuanya masih belum selesai, anak-anak muda di desa atau pedalaman yang belum mendapat pembelaan, jadi beri tumpuan pada soal-soal ini, bangunkan negara kita.
“Tidak perlu sibuk soal remeh-temeh, mempertahankan penyelewengan. Saya singgung orang-orang besar yang bilionair (kerana terlibat) rasuah, (tetapi) banyak suara atas nama Melayu (serta) Islam mempertahankan tauke-tauke besar dengan memarahi saya,” kata beliau.
Sementara itu, Anwar berkata lawatan rasmi beberapa pemimpin negara luar baru-baru ini termasuk Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra dan Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong baru-baru ini menunjukkan Malaysia menjadi negara tumpuan kerana perkembangan pertumbuhan dan pelaburan yang dicatatkan negara.
“Malah, semalam Presiden Indonesia (Prabowo Subianto) turut mengadatan lawatan sebagai sahabat (menyatakan) mahu menjalinkan kerjasama cukup erat antara kedua negara (walaupun beliau) datang beberapa jam sahaja, makan tengah hari bincang isu bersama.
“Lawatan Perdana Menteri (Shigeru) Ishiba pula lawatan bilateral pertama sejak beliau menjadi Perdana Menteri Jepun dan beliau pilih Malaysia sebagai negara pertama dilawati … beliau (Ishiba) ada lawatan pelbagai hala, tetapi untuk dua hala beliau pilih Malaysia,” kata Anwar.
Semalam, Ishiba tiba di Malaysia untuk lawatan rasmi dua hari, yang merupakan lawatan pertama beliau ke negara ini sejak memegang jawatan pada Oktober tahun lepas.
Mengulas lanjut, Anwar berkata apa yang dinyatakannya itu bukanlah untuk mendabik dada, sebaliknya menunjukkan kejayaan yang dicapai negara setakat ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial