AM

Tiga Juta Benih Udang Galah Dilepaskan Di Perairan Melaka

12/01/2025 06:29 PM

ALOR GAJAH, 12 Jan (Bernama) -- Sebanyak tiga juta benih udang galah akan dilepaskan secara berperingkat di perairan umum sekitar Melaka dengan kerjasama Jabatan Perikanan tahun ini. 

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata usaha itu bertujuan meningkatkan bekalan sumber perikanan khususnya udang galah di negeri itu sekali gus menampung permintaan setempat.

Beliau berkata inisiatif berkenaan juga bagi meningkatkan bekalan hasil kepada golongan pemancing terutama di kawasan Paya Lebar yang terkenal sebagai 'syurga udang galah'.

"Daripada tiga juta benih udang galah yang akan dilepaskan, dijangka 25 peratus dapat membiak dan ditangkap sebagai stok makanan dalam tempoh enam bulan kemudian.

"Hari ini sahaja, sebanyak 100,000 benih udang galah telah dilepaskan di Pangkalan Nelayan Jeti Paya Lebar, Lubok China sempena Program Pelepasan Benih Udang Galah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Pertanian Peringkat Parlimen Masjid Tanah 2025 yang turut dihadiri Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.

Dalam perkembangan lain, Ab Rauf berkata program atau karnival pertanian akan diperluas di seluruh negeri itu dalam usaha kerajaan mentransformasi dan memperkasakan pembangunan ekonomi di kawasan luar bandar.

Beliau berkata penganjuran program seumpama itu juga secara tidak langsung memantapkan industri pertanian dan agromakanan negara selain menjadi platform pengumpulan serta penjualan produk asas tani dan makanan secara terus kepada rakyat setempat.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan