AM

Kedai Runtuh Dibadai Ombak Besar Di Batu Rakit

13/01/2025 04:24 PM

KUALA NERUS, 13 Dis (Bernama) -- Seorang peniaga makanan dan hasil laut di Kampung Tanjung, Batu Rakit, di sini hanya mampu termenung memikirkan nasib diri selepas premis perniagaan yang diusahakan lebih 20 tahun runtuh akibat hakisan dalam kejadian ombak besar malam tadi.

Manan Ali, 70, berkata tiada kata-kata yang dapat menggambarkan rasa sedihnya ketika melihat kedai itu yang menjadi punca rezekinya sekeluarga musnah di depan mata.

Beliau berkata hakisan yang semakin teruk beberapa tahun kebelakangan ini menyaksikan bahagian belakang kedai itu runtuh 29 Nov lepas, diikuti runtuhan kedua pada 28 Dis.

"Kemuncaknya pada 9.30 malam tadi apabila angin kuat dan ombak besar meranapkan kedai kami," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Manan berkata walaupun sedih, beliau reda dengan ujian berkenaan dan berharap pihak berkuasa dapat mencari penyelesaian terbaik untuk membantu penduduk di kawasan itu yang diancam masalah hakisan serius.

Sementara itu, pemilik chalet Abdul Wahab Othman, 65, berkata beliau bergegas pulang dari Kuala Lumpur untuk memeriksa keadaan rumah penginapannya selepas dimaklumkan penduduk kampung.

Abdul Wahab berkata ombak besar menyebabkan beliau rugi besar selepas dua chaletnya runtuh menyembah bumi, namun tetap bersyukur kerana enam bilik penginapan masih selamat dengan hanya ada kerosakan kecil.

“Hakisan tahun ini terburuk dalam tempoh 20 tahun, ombak besar serta angin kencang kali ini berlainan berbanding tahun-tahun sebelumnya dan sangat menakutkan," katanya.

Pengusaha kedai Kopi Payung Muhd Rushdi Samsudin, 43, pula berkata beliau mengambil keputusan mencabut semua atap kedainya kerana bimbang diterbangkan angin malam ini.

Muhd Rushdi berkata sebelum ini beliau telah menghabiskan ribuan ringgit membina benteng yang diperbuat daripada karung pasir untuk mengurangkan kesan hakisan, tetapi semuanya musnah dihanyutkan ombak besar.

"Saya tak mahu ambil risiko kerana ombak sangat besar sehingga melebihi tiga meter. Semua barang-barang telah saya bawa keluar petang semalam dan berdoa supaya kedai selamat," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan