AM

MITRA Buka Permohonan Program MITAP 2024/2025 Khusus Untuk Lahirkan Usahawan Tani India

13/01/2025 08:20 PM

SERDANG, 13 Jan (Bernama) -- Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) membuka permohonan untuk menyertai program disediakan Malaysian Indian Transformative Agri Programme (MITAP) 2024/2025 mulai hari ini, yang bertujuan melahirkan lebih ramai usahawan tani dari masyarakat India yang kompetitif.

Program yang dijangka bermula April 2025 itu akan dikendalikan dengan kerjasama MARDI Corporation Sdn Bhd (MARDICorp) dengan mengguna pakai modul pertanian sedia ada dan terbahagi kepada dua program iaitu Program Bantuan Geran Pembangunan Pertanian dan Program Usahawan Tani Muda.

Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas MITRA P.Prabakaran berkata sejumlah RM3.8 juta diperuntukkan bagi MITAP 2024/2025 itu yang akan memanfaatkan usahawan India dengan menyediakan ekosistem bagi penglibatan dalam sektor pertanian. 

"Sebelum ini, ramai petani masyarakat India menyatakan cabaran yang dihadapi mereka dalam bidang pertanian, iaitu peruntukan tidak mencukupi, dan MITRA sekarang bekerjasama dengan MARDICorp untuk melaksanakan kedua-dua program berkenaan," katanya dalam sidang media mengenai MITAP 2024/2025 di sini hari ini.

Di bawah Program Bantuan Geran Pembangunan Pertanian, 100 peserta yang memenuhi syarat kelayakan akan menyertai Seminar Business Model Canvas selama dua hari, dan seterusnya 70 peserta akan dikenal pasti bagi menyertai Kursus Teknikal Pertanian selama lima hari di MARDICorp.

Enam bidang yang diberi tumpuan di bawah kursus teknikal berkenaan adalah pengeluaran tanaman makanan, pengurusan ternakan tenusu (lembu), penternakan lebah madu, teknologi penanaman cendawan tiram, penternakan ikan air tawar dan teknologi pemprosesan makanan (sejuk beku).

Prabakaran berkata 70 peserta yang tamat kursus berkenaan akan mendapat Geran Pembangunan Pertanian sehingga RM30,000 dan mereka akan dipantau selama enam bulan oleh pihak MARDICorp.

Permohonan diutamakan kepada golongan B40 berumur 18 tahun ke atas, mempunyai lesen atau daftar perniagaan sah dan mempunyai kawasan atau tanah yang bersesuaian untuk aktiviti pertanian.

Sementara itu bagi Program Usahawan Tani Muda, beliau berkata ia menawarkan latihan pertanian selama 10 bulan dan Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3 akan diberikan kepada 30 peserta yang menjalani latihan dengan jayanya.

"Peserta akan diberikan tanah sewaan seluas 0.40 hektar bagi tempoh enam bulan di Selangor dan Johor untuk diusahakan, serta akan dibimbing dan dipantau oleh MARDICorp selama enam bulan," katanya.

Permohonan MITAP 2024/2025 boleh dibuat melalui Google Form di pautan https://forms.gle/AnVaaSVc2aPjQiCGA bagi Program Bantuan Geran Pembangunan Pertanian dan https://forms.gle/Hbina9VwsSLQ2hAb9 bagi Program Usahawan Tani Muda. 

Permohonan dibuka selama sebulan mulai hari ini hingga 13 Feb, dan sebarang info lanjut boleh didapati dengan menghubungi MITRA di talian 03-8886 6013 atau MARDICorp di talian 019-3497005/03-8948 4699 bermula pukul 8.30 pagi hingga 5.30 petang pada hari bekerja atau e-mel kepada sek@mitra.gov.my.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan