PUTRAJAYA, 14 Jan (Bernama) -- Kepengerusian ASEAN 2025 bukan sahaja tertumpu kepada mesyuarat di peringkat atasan, tetapi juga melibatkan aktiviti dan program di peringkat akar umbi di seluruh negara, kata Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin.
Beliau berkata sebanyak 29 program dirangka untuk pelbagai lapisan masyarakat, termasuk komuniti luar bandar, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), belia, wanita, orang kurang upaya, warga emas, dan kanak-kanak, bagi memastikan golongan tersebut turut mendapat manfaat daripada Kepengerusian ASEAN.
Antara program yang dirancang termasuk kempen beli barangan buatan Malaysia, Forum ASEAN Campur Tiga untuk memperkasa wanita luar bandar, Sidang Kemuncak Belia ASEAN, Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) khas, serta program untuk pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi.
"Keutamaan diberikan supaya inisiatif dan ketetapan yang dibuat oleh Perdana Menteri dan kerajaan dilaksanakan sebaik mungkin, supaya matlamat Kepengerusian ASEAN ini benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
"Ini merupakan agenda nasional yang memerlukan penglibatan seluruh Malaysia dan masyarakat," katanya pada sidang media berhubung Kepengerusian ASEAN 2025 di sini hari ini.
Amran berkata semua aktiviti dan program yang dirangka juga selaras dengan visi Komuniti ASEAN yang berpaksikan rakyat serta tema Kepengerusian ASEAN 2025 "Keterangkuman dan Kemampanan".
Sementara itu, beliau berkata secara keseluruhan, sebanyak 357 mesyuarat berkaitan ASEAN akan berlangsung di seluruh negara sepanjang tahun ini dengan 14 daripadanya melibatkan peringkat tertinggi, iaitu ketua negara dan kerajaan.
Menurut Amran, Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 akan diadakan pada pertengahan tahun ini bersekali dengan Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China, manakala Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 akan berlangsung pada hujung tahun.
"Di Langkawi, kita akan ada 50 mesyuarat ASEAN, di Pulau Pinang 37 mesyuarat dan negeri lain juga ada dan ini semua memerlukan persediaan logistik yang rapi.
"Kita ingin membawa ASEAN ke peringkat akar umbi supaya ASEAN dapat mengenali kepelbagaian yang ada di Malaysia dan memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk lebih mengenali ASEAN dan meraih manfaat dari aspek perniagaan dan pelancongan," katanya.
Amran berkata Pemukiman Menteri-menteri Luar ASEAN (AMM) di Langkawi yang bermula pada Sabtu ini akan membuka tirai Kepengerusian ASEAN 2025, melibatkan lebih 200 delegasi asing.
Menurutnya kenderaan elektrik keluaran Proton, eMAS 7, akan mula digunakan pada pemukiman tersebut sebagai kenderaan rasmi bagi pegawai-pegawai kanan yang terlibat dalam semua mesyuarat berkaitan ASEAN sepanjang tahun ini.
Dari segi persediaan, Amran berkata, seluruh jentera kerajaan akan digembleng bagi memastikan semua agenda berlangsung dengan lancar, sambil menonjolkan aspek kempimpinan dan reputasi Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN.
"Kita sebagai tuan rumah perlu memainkan peranan untuk memastikan tetamu yang akan berkunjung ke Malaysia sepanjang tahun ini mempunyai persepsi sangat positif terhadap Malaysia, terutamna dalam aspek menghormati dan memberi layanan yang baik kepada tetamu, mencerminkan “true Malaysian hospitality" (layanan ikhlas, mesra dan penuh penghormatan kepada tetamu di Malaysia),” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial