AM

Tandas Wanita, Jubin Baharu Di Kuil Batu Caves Dijangka Siap Menjelang Thaipusam

14/01/2025 06:11 PM

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Kerja-kerja penyelengaraan serta baik pulih di Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves yang merangkumi penyediaan tandas wanita serta jubin baharu, dijangka selesai menjelang perayaan Thaipusam bulan depan.

Pengerusi jawatankuasa kuil itu Tan Sri R. Nadarajah berkata kira-kira RM6 juta dibelanjakan sehingga kini bagi melaksanakan pembaikan dan penyelengaraan di pusat ibadat berkenaan.

"Sebelum ini kami telah membelanjakan RM5 juta untuk membina dua kompleks di kuil itu dan kemudiannya menambah kos untuk membina tandas khas bagi golongan wanita. 

"Kerja-kerja baik pulih ini juga kami sedang segerakan supaya ia siap dan dapat digunakan oleh para penganut menjelang Thaipusam ini," katanya kepada media selepas menyempurnakan upacara sambutan Ponggal di Kuil Sri Mahamariamman yang terletak di Jalan Tun H S Lee, di sini, hari ini.

Beliau berkata pelbagai aktiviti tradisional masyarakat India akan ditampilkan pada Sambutan Ponggal Perpaduan Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan di Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves pada 19 Jan ini.

Nadarajah berkata sambutan yang dijadualkan berlangsung dari pagi hingga ke malam itu akan disertai Presiden MIC Tan Sri S A Vigneswaran dan Timbalan Presidennya Datuk Seri M.Saravanan.

Terdahulu, Nadarajah yang juga pengerusi Kuil Sri Mahamariamman menyempurnakan pesta menuai atau lebih dikenali sebagai Ponggal bersama isterinya Puan Seri Mallika yang dihadiri lebih 100 penganut.

M. Manokari, 65, yang hadir ke kuil bersama sahabatnya Josephine, 72, berkata beliau tidak pernah melepaskan peluang untuk menyertai upacara Ponggal di kuil tersebut setiap tahun biarpun terpaksa menempuh perjalanan selama satu jam dari Shah Alam.

"Kami bangun sekitar 5 pagi hari ini dan menaiki LRT (Transit Aliran Ringan) untuk sampai ke sini memandangkan kuil ini merupakan satu daripada kuil tertua di negara ini dan hati saya berasa ringan setiap kali datang ke sini," katanya. 

Sementara itu, Presiden Kuil Sri Ayyaneswarar, Setapak, Datuk Perumal Chinnaya berkata tradisi menyambut perayaan Ponggal di kuil itu yang dimulakan sejak 30 tahun lepas berlangsung tidak kurang meriahnya tahun ini.

Datin Jayam Shanmugam, 71, berkata beliau berkunjung ke kuil itu pada setiap tahun untuk meraikan Ponggal sejak 1970-an lagi. 

Dalam pada itu, situasi di 'Little India' Brickfields meriah seawal 7.30 pagi dengan kebanyakan kuil dibanjiri penganut Hindu bagi menyertai upacara Ponggal sebelum memulakan pekerjaan harian mereka.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan