AM

Malaysia, UAE Tingkatkan Kerjasama Bidang Strategik

15/01/2025 12:52 AM

Daripada Kamarul Ariffin Md Yassin

ABU DHABI, 14 Jan (Bernama) -- Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bersetuju untuk meningkatkan kerjasama strategik dalam bidang politik, ekonomi dan pelaburan, pertahanan, tenaga boleh baharu (RE) dan nuklear, pelancongan, kemampanan dan kecerdasan buatan (AI), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata perkara itu ialah hasil mesyuarat dua hala beliau dengan Presiden UAE Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan di sini pada Selasa, serta Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum di Dubai pada Isnin.

Anwar berkata lawatan beliau ke UAE kali ini turut menyaksikan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif (CEPA) dimeterai bagi meningkatkan kerjasama perdagangan dan pasaran negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan ASEAN. 

“Perjanjian perdagangan bebas (FTA) pertama dengan negara GCC itu sasar peningkatan eksport negara ke UAE kepada US$13.5 bilion pada 2032,” kata beliau kepada wartawan Malaysia dalam sidang media pada akhir lawatan beliau ke UAE di sini, pada Selasa.

Perdana Menteri berkata sewaktu lawatan kerja beliau ke UAE selama tiga hari sejak Ahad, terdapat juga Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai kerjasama dalam Inisiatif AI bagi meningkatkan keupayaan ekosistem keselamatan negara.

Anwar berkata beliau turut berbincang dengan Sheikh Mohamed tentang penyertaaan Presiden UAE itu pada Sidang Kemuncak ASEAN-GCC di Malaysia pada penghujung Mei.

“Secara keseluruhannya, lawatan ini mencapai objektif mengukuhkan kerjasama dua hala dengan UAE,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata beliau turut mengadakan mesyuarat dua hala dengan Presiden Kenya William Samoei Ruto dan Presiden Uganda Yoweri Kaguta dalam usaha meningkatkan hubungan Malaysia dengan Afrika.

Kenya menjalin 60 tahun hubungan diplomatik dengan Malaysia dan pengimport terbesar kelapa sawit di Afrika serta hab eksport di timur Afrika.

Hubungan diplomatik Uganda dengan Malaysia pula mencapai 63 tahun, dan antara perkara dibincangkan ialah berkenaan usaha mengurangkan jurang imbangan perdagangan, pembangunan Eco Satellite City di Nakigalala Estate serta pendidikan dan pembangunan kapasiti.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan