JOHOR BAHRU, 15 Jan (Bernama) -- Seorang bekas jurutera mendakwa kerugian RM9.47 juta selepas terpedaya dengan pelaburan mata wang kripto tidak wujud secara dalam talian, bermula Oktober tahun lepas.
Ketua Polis Johor Datuk M. Kumar berkata mangsa yang berusia 63 tahun itu dikatakan tertarik dengan pelaburan yang diiklankan di media sosial pada Julai tahun lepas, kerana ia menjanjikan pulangan sehingga 50 kali ganda.
"Mangsa mendakwa dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp selepas menekan pautan pada iklan tersebut, sebelum dihubungi oleh dua individu yang memberi penerangan mengenai pelaburan tersebut. Mangsa telah membuat 29 transaksi pembayaran antara Oktober hingga Disember tahun lalu ke 11 akaun bank berbeza, yang berjumlah RM9.47 juta," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Kumar berkata mangsa mendakwa dirinya telah memperoleh keuntungan RM88 juta, namun dimaklumkan perlu membuat bayaran RM800,000 untuk mengeluarkan wang itu.
Mangsa yang enggan berbuat demikian, cuba menghubungi dua individu yang pernah berurusan sebelum ini, namun gagal menyebabkannya membuat laporan polis semalam.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial