SHAH ALAM, 15 Jan (Bernama) -- Pengarah Jabatan Teknologi Maklumat Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM3,500, enam tahun lepas.
Pengakuan Nor Hasyimah Tamziz, 50, direkodkan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.
Tertuduh didakwa menerima wang itu daripada seorang kontraktor berusia 54 tahun yang mempunyai kaitan dengan tugas rasminya di sebuah bank di Klang, dekat sini pada 9 Mei 2019.
Nor Hasyimah didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muaz Ahmad Khairuddin menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin, namun peguam V. Ayasamy merayu jumlah itu dikurangkan kepada RM5,000 kerana tertuduh menanggung empat anak.
Hakim membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh menyerahkan pasport ke makamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan sehingga kes selesai, selain menetapkan 5 Mei ini sebagai sebutan semula kes.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial