JENAYAH & MAHKAMAH

Saya Telah Bertemu Jho Low Di Abu Dhabi Sebelum Sertai 1MDB - Arul Kanda

15/01/2025 05:46 PM

KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, beliau bertemu ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low di Abu Dhabi, empat tahun sebelum pelantikannya ke dalam syarikat itu.

Defendan pertama itu berkata demikian ketika disoal oleh peguam 1MDB Datuk Lim Chee Wee semasa perbicaraan saman 1MDB berjumlah US$6.59 bilion terhadapnya dan bekas Pengerusi Lembaga Pengarah Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Lim: Ketika itu kamu berada di Timur Tengah… Kamu berada di Abu Dhabi, dan pasti kamu telah berjumpa dengan ramai ahli perniagaan dan pelabur terkemuka… dan kamu berjumpa Jho Low ketika di Abu Dhabi?

Arul Kanda: Ya, pada 2011. 

Apabila ditanya sama ada Jho Low mengemukakan sebarang cadangan, Arul Kanda berkata terdapat satu cadangan khusus yang berkaitan dengan pelaburan di Pulau Al Maryah, sebuah daerah kewangan di Abu Dhabi. 

“Ia berkaitan dengan hartanah di sana atau sesuatu seumpamanya,” kata Arul Kanda. 

Arul Kanda berkata selain Jho Low, beliau juga bertemu dengan dua lelaki di Abu Dhabi iaitu Khadem Al Qubaisi dan Mohammed Badawy al Husseiny, yang kemudian dikaitkan dengan skandal 1MDB.

Ketika menjelaskan penglibatannya dalam 1MDB, Arul Kanda berkata beliau telah dipelawa oleh bekas pengarah 1MDB Ashvin Jethanand Valiram ketika lawatan ke Dubai.

"Kami bertemu di satu kursus di Malaysia dan isterinya menetap di Dubai. Jadi setiap kali beliau datang ke Dubai atas urusan keluarga atau perniagaan, kami akan bertemu. Ashvin menyatakan kebimbangannya kepada saya bahawa 1MDB mempunyai hutang yang besar, yang boleh menjejaskan projek-projek.

“Kemudian saya menghantar resume melalui e-mel kepada Ashvin dan saya telah ditemu duga oleh pengerusi 1MDB ketika itu Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin dan bekas pengarah 1MDB Tan Sri Ismee Ismail. Selain itu, saya juga menjalani temu duga menerusi panggilan telefon oleh CEO 1MDB ketika itu Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

“Mereka bertanyakan tentang diri saya, seingat saya, temu duga itu lebih tertumpu kepada diri saya dan apa yang pernah saya lakukan dan latar belakang saya. Mereka tidak menjelaskan secara terperinci tentang hutang besar yang ditanggung oleh 1MDB,” kata Arul Kanda.

Arul Kanda, yang menerima surat tawaran pada 18 Dis 2014 berkata beliau telah menyelidik mengenai 1MDB sebelum menyertai syarikat itu dan mendapati terdapat banyak artikel negatif mengenai syarikat berkenaan yang dilaporkan media.

Pada Mei 2021, 1MDB memfailkan saman terhadap Mohd Irwan serta Arul Kanda, dengan menuduh mereka pecah amanah dan konspirasi yang mengakibatkan kerugian US$1.83 bilion berkaitan pelaburan syarikat dalam 1MDB-Petrosaudi Ltd, yang kemudian ditukar menjadi pelaburan Brazen Sky Limited, yang dikatakan boleh diperoleh semula daripada Dana Global Bridge.

1MDB juga mendakwa kedua-dua defendan melakukan pecah amanah dan konspirasi dengan menyalahgunakan dana syarikat bernilai US$3.5 bilion yang dibayar kepada Aabar Investments dan US$1.265 bilion yang dibayar kepada Syarikat Pelaburan Petroleum Antarabangsa pada 9 Mei 2017.

1MDB mendakwa Mohd Irwan bersubahat dengan Arul Kanda untuk melaksanakan satu lanjutan perjanjian pekerjaan, membayar sejumlah RM2,905,200 kepada Arul Kanda tanpa mengambil kira kepentingan 1MDB, yang mengakibatkan kerugian dan kerosakan kepada syarikat itu.

Akibatnya, 1MDB menuntut ganti rugi US$6.59 bilion daripada kedua-dua defendan untuk pelanggaran itu, dan tambahan RM2.9 juta daripada Mohd Irwan berkaitan pelanjutan perjanjian pekerjaan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan bersambung esok.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan