DUNIA

Presiden Yoon Dibawa Ke Pusat Tahanan Selepas Hari Pertama Soal Siasat

15/01/2025 11:50 PM

SEOUL, 15 Jan (Bernama-Yonhap) -- Presiden Korea Selatan  yang menghadapi pendakwaan Yoon Suk Yeol telah dibawa ke Pusat Tahanan Seoul pada Rabu malam sebelum menjalani sesi soal siasat lanjut berhubung pelaksanaan undang-undang tentera yang gagal, lapor Agensi Berita Yonhap.

Yoon diiringi ke Pusat Tahanan Seoul di Uiwang, 22 kilometer di selatan Seoul, selepas disoal siasat selama lebih 10 jam di Pejabat Siasatan Rasuah bagi Pegawai Berpangkat Tinggi (CIO) di Gwacheon.

"Soal siasat terhadap Presiden Yoon berakhir pada 9.40 malam," menurut kenyataan CIO kepada media.

Menurut CIO, Yoon enggan menjawab soalan mengenai pengisytiharan undang-undang tentera pada 3 Dis. Beliau akan disoal siasat lebih lanjut pada Khamis sebelum penyiasat memfailkan permohonan waran untuk menahannya secara rasmi dalam tempoh 48 jam dari masa mereka menahannya pada 10.33 pagi Rabu.

Yoon, ditahan oleh penyiasat di kediaman rasminya di tengah Seoul selepas percubaan pertama untuk menahannya pada awal Januari menemui jalan buntu kerana konfrontasi dengan pasukan keselamatan presiden.

Sesi soal siasat diadakan di dalam bilik soal siasat di ibu pejabat CIO dan diketuai oleh timbalan ketua CIO Lee Jae-seung, dengan kehadiran seorang daripada peguam Yoon. Sesi itu tidak dirakam dalam video kerana bantahan Yoon, menurut CIO.

Yoon, yang digantung tugas berikutan pendakwaan oleh Parlimen pada 14 Dis, menghadapi tuduhan pemberontakan dan salah guna kuasa.

Dalam mesej video yang dirakam lebih awal, Yoon berkata walaupun ini adalah siasatan yang tidak sah, beliau memutuskan untuk patuh demi mengelakkan pertumpahan darah yang tidak diingini.  

Sementara itu, dalam kenyataan selepas tamat sesi soal siasat, peguam Yoon berkata mereka telah memfailkan semakan kesahihan penahanannya dengan Mahkamah Daerah Pusat Seoul, bukan Mahkamah Daerah Barat Seoul yang mengeluarkan waran penahanannya.

Pilihan mahkamah adalah berdasarkan pengetahuan bahawa pendakwa raya akan memfailkan dakwaan mereka dengan Mahkamah Daerah Pusat Seoul jika mereka mendakwanya, kata mereka.

Walaupun Yoon menentang siasatan itu, beliau menyatakan rancangan untuk hadir di Mahkamah Perlembagaan bagi membela diri semasa perbicaraan sama ada untuk memecatnya daripada jawatan atau mengembalikannya.

"Kemungkinan besar beliau akan terus ditahan kerana tindakan tegas CIO, tetapi saya percaya beliau akan menghadiri (perbicaraan) tanpa gentar," kata Seok Dong-hyeon, seorang peguam dan rakan lama Yoon, kepada pemberita di luar Pejabat Pendakwa Raya Tinggi Seoul.

Dengan soal siasat CIO dijangka berlanjutan sehingga Khamis, Seok mencadangkan presiden itu tidak akan hadir pada pendengaran rasmi kedua yang dijadualkan pada hari berkenaan.

Sumber kehakiman kemudian melaporkan bahawa peguam Yoon telah mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Perlembagaan untuk menangguhkan pendengaran itu.

-- BERNAMA-YONHAP


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan