KUANTAN, 16 Jan (Bernama) -- Pahang dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bertujuan menjalin kerjasama strategik bagi melindungi Harimau Malaya yang populasinya semakin kritikal pada masa ini.
Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah bertitah projek itu akan dilaksanakan di Rizab Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah yang merupakan kawasan perlindungan haiwan liar berkenaan dengan keluasan 1,340 kilometer persegi dan terletak bersebelahan Taman Negara Pahang.
Baginda bertitah projek bernilai RM99.8 juta yang dibiayai Tabung Pemuliharaan Spesies Mohamed bin Zayed itu akan memberi tumpuan kepada usaha pemuliharaan spesies harimau, pemulihan habitat semula jadi serta pembangunan komuniti setempat.
“Antara keutamaan projek ini adalah menangani ancaman utama seperti pemburuan haram, kerosakan habitat sekali gus mengatasi isu kemerosotan populasi Harimau Malaya yang kini berada di ambang kepupusan.
“Projek ini melambangkan komitmen kita untuk melindungi warisan alam semula jadi demi generasi akan datang. Melalui perpaduan dan usaha kolektif, kita akan dapat memulihkan habitat serta memastikan spesies ini terus hidup di habitat asalnya,” titah baginda yang dimuat naik di Facebook Kesultanan Pahang.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyaksikan majlis menandatangani MoU kerjasama strategik antara Pahang dan UAE yang turut diiringi Putera Mahkota Abu Dhabi Sheikh Khaled bin Mohamed bin Zayed Al Nahyan semasa Minggu Kelestarian Abu Dhabi di UAE pada Selasa lepas.
Perjanjian itu dimeterai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Enggang Holding Tengku Datuk Aiman Putra Tengku Kamal Bahrin dan Presiden Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam (IUCN) Razan Al-Mubarak.
Tengku Hassanal bertitah kolaborasi ini turut mencerminkan keprihatinan mendalam Malaysia dan UAE terhadap kelestarian alam sekitar sekali gus membuka lembaran baharu dalam usaha global melindungi hidupan liar yang semakin terancam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial