AM

Pusat Khidmat Parlimen Kanowit Bantu Mangsa Kebakaran Rumah Paulus Yan

17/01/2025 02:53 PM

SIBU, 17 Jan (Bernama) -- Menteri Perpaduan Datuk Aaron Ago Dagang menyampaikan sumbangan wang tunai berjumlah RM21,000 kepada 15 keluarga dari Rumah Paulus Yan, Sungai Bawan, Kanowit yang kehilangan tempat tinggal selepas rumah panjang mereka musnah dalam kebakaran. 

Beliau yang melawat mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Datuk Aaron, Bawan turut menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan asas.

"Selaku wakil rakyat bagi kawasan Kanowit, saya amat memahami kesusahan dan cabaran yang dihadapi mangsa.  

"Saya melalui Pusat khidmat Ahli Parlimen Kanowit dengan kerjasama Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) telah menyampaikan bantuan kepada keluarga terjejas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Aaron berkata pejabatnya akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan, jabatan kebajikan, serta badan-badan sukarela untuk memastikan proses bantuan berjalan lancar dan menyeru masyarakat untuk turut sama tampil membantu mangsa terlibat.

Beliau berkata kesemua keluarga yang terlibat akan membina pondok kediaman sementara sebelum rumah panjang yang baharu dibina.

"Sehingga dampa (pondok kediaman) itu siap, kesemua keluarga boleh tinggal di PPS buat sementara," katanya.

Dalam kejadian pada Rabu itu, sekurang-kurangnya 88 penghuni rumah panjang berkenaan tinggal sehelai sepinggang.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan