PUTRAJAYA, 18 Jan (Bernama) -- Fasa tiga e-invois menerima lebih 4,900 penyertaan awal secara sukarela daripada pembayar cukai, menurut Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Dalam kenyataan hari ini, LHDN memaklumkan pelaksanaan e-invois ketika ini telah memasuki fasa kedua dan memperlihatkan peningkatan penyertaan yang amat menyakinkan.
Menurut kenyataan itu, lebih 7,000 pembayar cukai fasa dua telah menggunakan sistem e-invois setakat semalam.
“Trend positif ini mencatatkan secara keseluruhan 17,000 pembayar cukai daripada kategori syarikat, perniagaan dan organisasi telah secara aktif menggunakan sistem ini dengan melibatkan pengeluaran sekitar 137 juta e-invois.
“Jumlah ini disokong dengan peningkatan yang berterusan menunjukkan pelaksanaan e-invois semakin difahami dan diterima baik oleh pembayar cukai,” menurut kenyataan itu.
LHDN memaklumkan e-invois akan dilaksanakan secara menyeluruh pada 1 Julai 2025 melibatkan semua pembayar cukai termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Ketika ini kerajaan bersetuju untuk memberi pengecualian pelaksanaan e-invois kepada lebih 700,000 perusahaan mikro dan kecil yang mempunyai jualan tahunan di bawah RM150,000.
“Kerajaan sangat menggalakkan penglibatan perusahaan mikro dan kecil bagi melaksanakan inisiatif e-invois secara sukarela selaras dengan aspirasi negara ke arah pendigitalan operasi perniagaan,” menurut kenyataan itu.
Menurut LHDN kerajaan memberikan tempoh peralihan selama enam bulan bagi memberi kelonggaran kepada pembayar cukai untuk mengeluarkan e-invois disatukan, iaitu e-invois yang menggabungkan semua transaksi jualan secara bulanan.
“Sepanjang tempoh peralihan ini, penalti tidak akan dikenakan kepada pembayar cukai yang sekurang-kurangnya mengeluarkan e-invois disatukan,” menurut LHDN.
Menurut kenyataan itu Portal MyInvois boleh diakses dan digunakan secara percuma bagi proses penghantaran e-invois.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial