SEREMBAN, 19 Jan (Bernama) -- Majlis Bandaraya Seremban (MBS) menyita dan melupuskan sejumlah 1,183 kenderaan terbiar dan usang tahun lepas.
Datuk Bandar MBS Datuk Masri Razali berkata kebanyakan kenderaan itu terbiar dan tersadai melebihi lima tahun diparkir di tempat sama tanpa penyelengaraan.
Beliau berkata sehingga tahun lepas sebanyak 608 aduan kenderaan terbiar, usang dan tersadai diterima membabitkan kawasan perumahan serta tempat awam.
"Selain aduan, pihak MBS juga membuat operasi dengan menarik 849 kenderaan melalui Jabatan Undang-Undang dan Penguatkuasaan MBS manakala 334 kereta telah kita lupuskan.
"MBS mengingatkan kepada warga Seremban tidak meletakkan kenderaan terbiar atau usang di tempat awam kerana ia kesalahan yang boleh dikenakan kompaun, sitaan dan pendakwaan di mahkamah di bawah Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Beliau berkata bagi kenderaan tidak dituntut, ia akan dilupuskan sebagai besi buruk mengikut peruntukan dikuatkuasakan.
Masri berkata MBS juga akan menguatkuasakan Akta Pengangkutan Jalan 1987 melalui pelantikan warden trafik yang telah diwartakan pada 2022.
"Di bawah peruntukan ini, semua kenderaan yang masih berada dalam keadaan baik tetapi ditinggalkan di tempat awam turut disita bagi memastikan persekitaran bersih, selamat dan teratur,” katanya.
Beliau berkata pada tahun ini, MBS akan memberi fokus kepada jalan perhubungan antara negeri, jalan utama dan juga taman perumahan serta kilang.
MBS meminta warga Seremban yang mempunyai sebarang aduan atau pertanyaan serta cadangan boleh mengemukakan melalui SISPAA MBS mbseremban.spab.gov.my atau muat turun secara percuma Aplikasi Respon Rakyat atau boleh juga hubungi terus di talian 06-7654444.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial