Oleh Sarinah Mat Kasim
SEREMBAN, 19 Jan (Bernama) -- Hanya bermodalkan RM2,000, seorang bekas pensyarah kini mampu meraih pendapatan lebih lima angka setahun dengan menjual kuih bulan halal yang diusahakan sejak lima tahun lepas.
Bermula sebagai hobi, Syawaliza Abdul Kutty, 42, kini tidak menang tangan apabila menerima sambutan sangat menggalakkan terutamanya menjelang Tahun Baharu Cina.
Mengagumi keunikan kuih tradisional masyarakat Cina semasa mengunjungi Pesta Kuih Bulan di sebuah pasar raya, ibu kepada dua cahaya mata itu berkata idea tercetus untuk menghasilkan kuih bulan halal yang boleh dinikmati oleh seluruh masyarakat terutamanya umat Islam.
Bermula dari situ dia mengambil peluang belajar sendiri cara membuat kuih bulan dengan mengunakan bahan-bahan halal bagi membolehkan masyarakat muslim menikmati tanpa was-was.
“Kita semua tahu kuih bulan biasanya dikaitkan dengan masyarakat Cina, tetapi hakikatnya makanan itu kita boleh buat sendiri dengan mengunakan bahan halal yang ada dijual di pasaran.
"Saya belajar sendiri dengan mencari resepi di Internet, antaranya saya menukar bahan kepada penggunaan minyak kacang tanah bagi mendapatkan rasa hampir sama dengan kuih bulan asli masyarakat Cina," katanya kepada Bernama di wakaf Mart Masjid Saidatina Khadijah Seremban di sini.
Pemilik Ammarnee Mooncake itu berkata kuih bulan dihasilkannya diyakini bersih dan selamat untuk dimakan, membolehkan produknya layak mendapatkan sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia menerusi Program Kotej Halal Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).
Syawaliza menyifatkan pengorbanannya berhenti kerja bagi menguruskan anak kembar dan melaksanakan perniagaan kecil-kecilan sejak 2020 itu berbaloi apabila kuih bulan dihasilkannya semakin mendapat tempat di pasaran tempatan, yang dijual antara harga RM3 hingga RM6 mengikut perasa.
“Kuih bulan halal ini mendapat permintaan daripada masyarakat setempat, ada juga yang tempah untuk dijadikan buah tangan sempena majlis perkahwinan atau jamuan.
“Sekarang ini saya memang sibuk menyiapkan tempahan sempena Tahun Baharu Cina, selain daripada pembeli Melayu dan India, saya juga menerima banyak tempahan daripada kaum Cina untuk diberikan hadiah kepada kawan-kawan Melayu,” katanya.
Beliau berkata dalam seminggu dia dapat menyiapkan lebih 400 biji kuih bulan dengan pelbagai perasa iaitu kacang hijau, kacang merah, dan pandan manakala bagi perasa seperti durian, nanas dan coklat hanya dibuat atas permintaan.
Sementara itu, bagi mengembangkan lagi perniagaan, Syawaliza turut membuat permohonan untuk mendapatkan bantuan peralatan dan mesin daripada Jabatan Pertanian Negeri.
"Saya berharap produk ini dapat dipasarkan secara lebih meluas di seluruh negeri, memandangkan sekarang ini saya hanya meletakkan kuih bulan di beberapa kedai dengan kuantiti terhad.
"Bagaimanapun, Alhamdulillah ... saya tetap bersyukur dengan sambutan sekarang yang semakin rancak, biarpun bukan di musim Pesta Kuih Bulan atau Pesta Tanglung," katanya yang sering mendapat sokongan daripada suami Noor Azahar Ismail,44.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial