AM

Tiada Petunjuk, Operasi PHC Cari Dua Nelayan Ditamatkan

19/01/2025 08:57 PM

MELAKA, 19 Jan (Bernama) -- Operasi mencari dan menyelamat dua nelayan yang hilang di perairan Pulau Undan di sini, yang memasuki hari keempat menemui jalan buntu selepas tiada sebarang petunjuk keberadaan mangsa sepanjang operasi dilakukan. 

Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Melaka dan Negeri Sembilan Komander Maritim Norrimi Hassan berkata tiada sebarang tanda atau penemuan, meskipun radius pencarian merangkumi 4,357 kilometer persegi termasuk perairan di Port Dickson, Negeri Sembilan hingga Muar, Johor.

“Tiada langsung petunjuk seperti tumpahan minyak, dan kalau kata karam atau dilanggar kapal lain di perairan antarabangsa, serpihan bot itu juga tiada. Kita juga telah merujuk kepada rakan-rakan nelayan kerana mereka boleh mengenali serpihan (jika ada) daripada bot mangsa. 

“Bantuan daripada Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Indonesia yang kita mohon sebelum ini pun tidak menemui sebarang petunjuk atau maklumat walaupun berdasarkan pengetahuan nelayan tempatan dan analisis Sistem Perancangan Optimum Mencari dan Menyelamat (SAROPS), kemungkinan mangsa sudah hanyut ke negara itu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) di Jeti Nelayan Muara Sungai Duyong, Padang Temu di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata operasi PHC yang diaktifkan sejak empat hari lepas ditamatkan pada 7.15 malam ini, namun operasi mencari akan diteruskan oleh setiap agensi yang terlibat melalui operasi rutin harian masing-masing sehingga kedua-dua mangsa ditemukan.

Media sebelum ini melaporkan Muarep Sakem, 63, dan Rosenizam Maharam, 50, hilang ketika memukat ikan pada Rabu lepas.

Kehilangan itu hanya disedari selepas majikan mangsa membuat laporan polis, dan kali terakhir mereka berhubung pada pukul 10 pagi hari Khamis lepas. 

Mangsa memaklumkan enjin bot gentian kaca bernombor pendaftaran MKF 3861 berwarna coklat biru yang digunakan mengalami kerosakan. 

Susulan laporan itu, Pusat Penyelarasan Penyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat serta-merta, manakala PHC di Jeti Nelayan Muara Sungai Duyong, Padang Temu diaktifkan, dan operasi turut dibantu komuniti nelayan tempatan.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan